Inisiatif penanaman bawang skala besar dilaksana melalui dua fasa – Jabatan Pertanian

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Inisiatif penanaman bawang pada skala lebih besar melalui usaha sama strategik kerajaan negeri serta usahawan berpotensi dilaksanakan menerusi dua fasa iaitu upskilling atau latihan semula dan pengukuhan.

Ketua Pengarah Pertanian, Datuk Nor Sam Alwi dalam satu kenyataan pada Rabu, berkata projek upskilling tanaman bawang sudah dijalankan pada 24 Januari lalu di kawasan seluas satu hektar di Kampung Ladang Bikam, Sungkai, Perak.

Melalui projek itu, Jabatan Pertanian (DoA) bersama agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) akan melaksanakan pemantauan agronomi tanaman, termasuk pembajaan, sistem pengairan, kawalan penyakit dan perosak serta kesesuaian mekanisasi ladang.

“Melalui pemerhatian projek ini, peluasan kawasan baharu akan dilakukan di seluruh negara dan penyampaian teknologi penanaman ini akan dilaksanakan oleh DoA,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu ketika menyampaikan amanat tahun baharu 2024 berkata kementeriannya akan memberi fokus untuk mengukuhkan industri bawang tahun ini.

Dalam memenuhi matlamat pengurangan import bawang sebanyak 30 peratus, Mohamad dilaporkan berkata KPKM menyasarkan seluas 1,447 hektar kawasan penanaman setahun.

Sementara itu, Nor Sam berkata, pada 2022 jumlah import bagi dua jenis bawang iaitu bawang besar dan bawang kecil adalah 685,400 tan dengan nilai sebanyak RM1.58 bilion.

Berdasarkan data statistik berkenaan, Malaysia mengimport bawang sebanyak 525,055.37 tan dengan nilai RM944,990,373 dari 20 negara.

Jumlah import yang tertinggi adalah dari India iaitu 321,776.16 tan, Belanda (77,772.55 tan), China (47,165.48 tan), Pakistan 42,957.62 tan, Thailand 12,186.52 tan serta lain-lain negara.

“Krisis bekalan bawang pada 2020 akibat bencana banjir besar di India mengakibatkan kenaikan harga jualan bawang sebanyak tiga kali ganda,” katanya.

Beliau berkata KPKM kini mengorak langkah untuk memperkasakan industri bawang dalam negara setelah mengambil kira kepelbagaian makanan di Malaysia yang memerlukan bawang sebagai satu daripada ramuan penting masakan.

“Memandangkan Malaysia mempunyai daya tarikan gastronomi yang unik, maka bawang dilihat sebagai komoditi tanaman yang strategik untuk dibangunkan,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat