Kanak-Kanak Lemas Dalam Tong Dipercayai Didera, Mungkin Sudah Lama Meninggal Dunia – Jiran

- Advertisement -

Jiran berhampiran rumah kanak-kanak berusia tujuh tahun yang meninggal dunia dipercayai akibat didera oleh ibu kandung dan ayah tirinya mendakwa, dia kerap mendengar tangisan kanak-kanak dari rumah keluarga berkenaan.

Ketika tinjauan Astro AWANI di Taman Krubong Jaya, di sini, seorang suri rumah berusia 43 tahun yang enggan namanya didedahkan berkata, dia terkejut apabila dimaklumkan anak kedua dari empat beradik itu maut didera.

“Sebelum ini selalu juga lah dengar suara empat beradik ini menangis, tetapi saya tidak mengesyaki apa-apa memandangkan saya pun ada anak kecil dan tabiat (menangis) itu saya anggap biasa.

“Tetapi semalam apabila nampak ada ambulan datang, saya terus bergegas ke luar rumah dan diberitahu oleh ayah tiri mangsa bahawa anaknya telah meninggal dunia akibat lemas. Saya juga nampak ibu mangsa duduk di atas sofa sambil menangis.

“Saya sempat bertanya kepada pasukan paramedik yang hadir apa sedang berlaku, dan salah seorang daripada mereka, tak pasti sama ada doktor atau pegawai perubatan, maklumkan kanak-kanak itu sebenarnya sudah lama meninggal dunia,” katanya ketika ditemui di kediamannya di sini hari ini.

Terdahulu, Astro AWANI melaporkan pasangan suami isteri itu direman tujuh hari selepas dipercayai mendera kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun sehingga meninggal dunia dalam kejadian di Taman Krubong Jaya petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang Jumaat itu, pihak polis menerima panggilan daripada bapa tiri mangsa mengatakan anaknya itu lemas dalam tong air setinggi 60.9 sentimeter di rumah berkenaan.

Siasatan pihak polis bagaimanapun mendapati, hasil pemeriksaan fizikal terhadap mayat mangsa menemui kesan lebam dan kecederaan di beberapa anggota badan, sebelum mayat kanak-kanak itu dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Melaka untuk bedah siasat bagi mengetahui punca kematian.

Sementara itu, seorang lagi jiran berusia 47 tahun yang enggan dikenali berkongsi cerita bahawa anak-anaknya sering terlihat kanak-kanak malang itu termenung sendirian, malah gambarnya juga sempat dirakam.

“Anak saya semua dah besar-besar dan sukakan budak-budak, ada sekali tu mangsa ni sedang termenung di sebalik jeriji besi di bahagian hadapan rumah kami dan anak saya ambil gambarnya.

“Anak saya cuba lambai dan ajak bersembang, tetapi dia tidak membalas dan terus masuk ke dalam rumah, itu sahaja. Malah dengan ibu bapanya juga kami jarang bersembang,” katanya.

Sebelum ini, kisah kanak-kanak itu pernah tular pada Oktober tahun lalu apabila keluarga angkatnya yang menjaganya sejak bayi terpaksa menyerahkan semula kanak-kanak malang itu kepada ibu kandungnya.

Kisah itu dikongsikan menerusi satu klip video di laman Facebook yang menunjukkan ibu angkat dan keluarganya menangis teresak-esak ketika memeluk kanak-kanak lelaki berkenaan sebelum diserahkan kepada ibu kandungnya – Astro Awani

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat