Boleh Bagi TPM Kepada UMNO, Tapi Keputusan Di Tangan Muhyiddin

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Keputusan melantik Timbalan Perdana Menteri terletak sepenuhnya di tangan Tan Sri Muhyiddin Yassin, kata Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof.

Tegas beliau, tiada masalah untuk mewujudkan semula jawatan Timbalan Perdana Menteri dan memberikan jawatan kabinet kedua tertinggi itu kepada UMNO, yang kini sebahagian dari kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Memetik Utusan Online, Mohd Redzuan memberitahu, sekiranya usaha mewujudkan jawatan Timbalan Perdana Menteri dapat memperkukuhkan kerajaan PN, perkara itu patut dibincangkan dalam peringkat tertinggi bersama Muhyiddin.

“Secara peribadi saya tak nampak masalah (beri jawatan Timbalan Perdana Menteri kepada UMNO) kerana kita adalah rakan untuk mentadbir urus (negara) tetapi terpulang kepada perdana menteri sebab beliau yang mewujudkan kabinet dan melantik menteri.

“Saya tidak menidakkan apa yang disebut tetapi kalau itu dilihat dapat memperkasa PN maka kita harus berbincang secara lebih mendalam,” katanya.

Sejak mengemudi pentadbiran negara Mac lalu, Muhyiddin memutuskan untuk tidak melantik Timbalan Perdana Menteri.

Namun beliau telah melantik empat menteri kanan. Antaranya Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (Bersatu)
dan Mohd Radzi Jidin (Bersatu), Ismail Sabri Yaakob (UMNO) dan Fadilah Yusoff (Gabungan Parti Sarawak).

Meskipun UMNO dilihat mempunyai bilangan kerusi yang banyak dalam PN, namun Redzuan berkata, peranan dan fungsi Bersatu tidak boleh diketepikan.

“Hari ini banyak kritikan (terhadap parti) yang kita dengar tapi kita tak mengendahkannya dan kita jalan terus sebab objektif kita sudah jelas iaitu untuk membantu rakyat terutama yang terkesan dengan pandemik Covid-19,” katanya.

Ditanya berhubung keputusan perhimpunan agung tahunan parti itu semalam untuk meminda Perlembagaan bagi memberikan ruang keahlian kepada bukan Bumiputera, Redzuan berkata, usaha partinya mencerminkan sifat keterbukaan.

“Malah, keputusan memansuhkan jawatan pengerusi juga tepat kerana sudah lama kita berpendapat tidak wajar satu kapal ada dua nakhoda,” katanya.
Isu jawatan nombor dua telah diperdebatkan selepas Ismail Sabri menerusi wawancara bersama Mingguan Malaysia berkata, gesaan UMNO untuk meminta jawatan Timbalan Perdana Menteri akan dibangkitkan setelah perbahasan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat selesai.

Tambah Ismail, selain dirinya, UMNO tidak diberikan jawatan kabinet tertinggi meskipun memegang majoriti terbesar dalam kerajaan PN.

Semalam, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi malah meminta ahli partinya supaya tidak mendesak Muhyiddin untuk mewujudkan jawatan timbalan menteri dan memberikannya kepada UMNO.

Bagaimanapun, Ketua Penerangan UMNO Shahril Sufian Hamdan mempertahankan pemimpin partinya berhak mendapat jawatan Timbalan Perdana Menteri.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat