COVID-19: KKM kesan dua kluster baharu di Selangor dan Kedah

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan dua kluster baharu wabak COVID-19 di negara ini iaitu Kluster MV Glen di Pelabuhan Klang, Selangor dan Kluster Telaga di Kedah.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata Kluster Telaga dikenal pasti di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, melibatkan dua kes positif dengan kes indeks ialah kes ke-9,284 dilaporkan Isnin (24 Ogos) lalu manakala kes kedua adalah kontak rapat kepada kes indeks.

“Kes tidak bergejala dan telah dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah untuk diberi rawatan. Kedua-dua kes ini merupakan petugas kesihatan di hospital tersebut namun tugasan tidak melibatkan jagaan kes yang disahkan positif COVID-19.

“Sehingga 30 Ogos, 12 tengah hari, sejumlah 374 orang telah disaring dalam kluster ini melibatkan ahli keluarga, kakitangan hospital dan lain-lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya daripada jumlah itu, 372 diuji negatif.

Dr Noor Hisham berkata punca jangkitan masih dalam siasatan namun disyaki berpunca dalam kalangan komuniti dan sebagai langkah kawalan, lebih banyak saringan tertumpu di hospital akan dijalankan.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata perkhidmatan Hospital Sultanah Bahiyah tidak terjejas dan tetap berjalan seperti biasa, dengan langkah pencegahan dan kawalan jangkitan seperti pembersihan dan proses nyah kuman juga telah dijalankan di premis yang berkaitan.

Memperincikan Kluster MV Glen, beliau berkata kluster itu dikenal pasti di sebuah kapal di Pelabuhan Klang melibatkan dua kes positif dengan kes indeks adalah kes ke-9,286 yang dilaporkan pada Selasa lalu (25 Ogos) yang merupakan seorang kru kapal.

Katanya lagi, kes indeks kluster itu merupakan kes import yang melibatkan bukan warga tempatan manakala kes kedua merupakan rakyat Malaysia juga juga ejen yang dilantik oleh syarikat perkapalan.

“Kes positif telah dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh dan diberi rawatan. Saringan COVID-19 dijalankan dan hingga 30 Ogos (hari ini), sejumlah lapan orang telah disaring dalam kluster ini,” katanya, menambah enam didapati negatif.

Beliau juga berkata aktiviti pengesanan kes secara aktif dan saringan kontak rapat masih dijalankan sementara langkah pencegahan dan kawalan jangkitan seperti proses nyah kuman dan nyah cemar telah dijalankan di kapal tersebut.

“Punca jangkitan masih dalam siasatan,” katanya, menambah saringan kesihatan secara sign-on dan sign-off adalah penting kerana ini merupakan antara kawalan sempadan antarabangsa yang dijalankan bagi mengekang aliran kemasukan individu yang berpotensi dijangkiti COVID-19 ke dalam negara.

-BERNAMA

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat