Oleh: Zihan Zari
PUCHONG – Pembudayaan amalan kitar semula adalah langkah penting untuk menggalakkan kesedaran dan penyertaan masyarakat dalam usaha pemuliharaan alam sekitar.
“Amalan 3R (Reduce, Reuse, Recycle) perlu dititikberatkan kerana menguruskan sisa pepejal bukanlah tugas kerajaan semata-mata tetapi ia merupakan kewajipan masyarakat supaya bumi terus terpelihara untuk generasi akan datang.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) , Datuk Hjh. Aiman Athirah Sabu berkata demikian ketika berucap pada program Karnival Kemampanan Komuniti Bandar (PKKB): Karnival Komuniti Madani di Pusat Penjaja Taman Putra Perdana pada Ahad.
Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha KPKT, Hj. Suhaimi Ali @ Ahmad; Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), Dato’ Ahmad Husaini Abdul Rahman, dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sepang (MPS), Dato’ Hj. Abd. Hamid Hussain.
Aiman Athirah berkata, penganjuran PKKB membolehkan pemimpin menyantuni penduduk setempat bagi mewujudkan hubungan akrab di samping mewujudkan komuniti yang lebih bertanggungjawab terhadap alam sekitar.
“Inisiatif SWCorp dalam memperkasa budaya 3R antara yang dilaksanakan termasuk memperkenalkan Pusat Kitar Semula Pandu Lalu (DTRC) seiring dengan hala tuju Dasar Kebersihan Negara untuk memudahkan masyarakat menghantar barangan kitar semula yang telah diasingkan.
“Ianya menggalakkan orang ramai membudayakan amalan kitar semula bagi menyumbang kepada peningkatan kadar kitar semula kebangsaan sebanyak 40% menjelang 2025.
“Inisiatif lain adalah Program Trash to Cash bagi menyemarakkan aktiviti kitar semula dan menyelamatkan sisa yang boleh dikitar semula daripada terus dibuang ke tapak pelupusan di samping memberi pulangan atau pendapatan tambahan kepada individu atau komuniti yang melaksanakannya.
“Selain itu, SWCorp melaksanakan Kempen Hargai Makanan Elak Pembaziran, Komuniti Sifar Sisa (KOSIS), pertandingan Kitar Semula Sekolah-sekolah (PerKISS), pertandingan Reka Bentuk From Waste to Wealth Innovation (WAWI), World Cleanup Day, Sukarelawan Hero Kebersihan serta Anugerah Penarafan Bintang Pengurusan Sisa Pepejal di Sektor Komersial, Perindustrian dan Keinstitusian (STAR-CII),” katanya.
Menurut beliau lagi, program dan inisiatif yang dirancang dan dilaksanakan ini, untuk mengubah stigma masyarakat bahawa sampah itu berharga kerana ia bukan sahaja mengelakkan pembaziran sumber alam semula jadi, malah boleh menjana sumber pendapatan.
“Amalan kitar semula ini juga dapat menyelamatkan alam sekitar kerana bahan terbuang dikitar semula, sekali gus pencemaran dikurangkan, harus disebar luas dan digalakkan supaya menjadi budaya dalam masyarakat.
“Fokus utama KPKT menerusi pelaksanaan PKKB ini bagi mencapai sasaran 40% sisa dilencongkan dari tapak pelupusan bagi mengurangkan penjanaan sisa secara signifikan melalui pencegahan, pengurangan, kitar semula dan penggunaan semula,” ujarnya.
Dalam pada itu, menerusi satu kenyataan SWCorp berkata, inisiatif ini untuk menggalakkan pengumpulan minyak masak terpakai dalam kalangan peniaga di samping memberikan pulangan yang setimpal dari hasil penjualan minyak masak terpakai tersebut.
“Usaha ini juga secara tidak langsung membantu menangani isu pembuangan minyak masak terpakai ke tempat yang tidak sepatutnya.
“KPKT melalui SWCorp dengan kerjasama MPS mengadakan pelbagai aktiviti menarik, turut menyerahkan tong 20L sebanyak 27 unit kepada peniaga makanan di sini,” kata kenyataan itu. – SUARA.TV