KUALA LUMPUR: Bekas pemain badminton kebangsaan, Abdul Rahman Mohamad disahkan meninggal dunia, hari ini.
Perkembangan itu disahkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menerusi kenyataan di Facebook badan induk itu, sebentar tadi.
Menurut kenyataan berkenaan, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada jam 5.53 petang tadi di Hospital Shah Alam.
“Jasa serta sumbangan Allahyarham dalam arena badminton kebangsaan pasti akan terus dikenang. Semoga rohnya ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman,” kata kenyataan itu.
Dilahirkan pada tanggal 9 Mei 1946, Abdul Rahman yang juga anggota skuad Piala Thomas 1970, turun selaku perseorangan kedua selepas mendiang Datuk Punch Gunalan pada perlawanan akhir edisi kelapan kejohanan berprestij itu menentang Indonesia.
– Berita Harian