KUALA LUMPUR, – Bendahari UMNO Sabah, Datuk Seri Panglima Salleh Said Keruak berpendapat mana-mana rundingan pembahagian kerusi dalam kerjasama besar seperti BN-PH-GRS perlu berpandukan dua prinsip utama iaitu kekal bertanding dan pertukaran kerusi.
Kenyataan Salleh yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Usukan semalam dilihat menyokong pengumuman Presiden UMNO yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bahawa rundingan kerjasama BN-GRS-PH masih diteruskan.
Dalam satu kenyataan yang dimuat naik ke akaun Facebook rasminya semalam, Salleh menjelaskan
“Kekal bertanding bermaksud parti yang memenangi sesuatu kerusi dalam pilihan raya lalu harus diberi keutamaan untuk bertanding semula di kawasan tersebut.
“Ini bagi mengelakkan pertembungan antara parti dalam koalisi serta mengekalkan kestabilan dan kepercayaan pengundi terhadap parti berkenaan,” tulis Salleh.
Pertukaran Kerusi
Selain prinsip kekal bertanding, Salleh turut menggariskan keperluan kepada prinsip pertukaran kerusi yang wajar diambil kira oleh semua parti dalam rundingan.
Katanya, strategi menukar kerusi antara parti dalam gabungan bukanlah perkara luar biasa, malah boleh menjadi kelebihan sekiranya dilakukan secara terancang.
“Pertukaran kerusi berlaku apabila dua parti bersetuju bertukar kawasan atas pertimbangan strategi sama ada untuk memberi laluan kepada calon yang lebih berpotensi atau menyusun kekuatan jentera mengikut keperluan tempatan,” jelas beliau.
Salleh juga menekankan bahawa dalam kes di mana wakil rakyat berpindah parti selepas memenangi kerusi atas tiket tertentu, kerusi itu sewajarnya dikira sebagai milik parti asal, bukan individu.
Namun, jika terdapat pertimbangan khas berdasarkan kekuatan pengaruh individu tersebut di kawasan berkenaan, satu perbincangan konsensus boleh diadakan dalam semangat koalisi.
“Kita mesti menilai kerusi itu dalam konteks keabsahan parti yang memenanginya dahulu, tetapi masih membuka ruang kepada pengecualian secara bersama, sekiranya didapati calon berkenaan masih mendapat sokongan akar umbi yang kuat,” tulis beliau lagi.
Salleh turut menggariskan bahawa kerusi-kerusi yang sebelum ini dimenangi oleh calon bebas atau pembangkang perlu dianggap sebagai ‘ kerusi terbuka’.
Kerusi sebegini katanya harus dirunding secara fleksibel, berdasarkan potensi calon, kekuatan jentera, serta peluang kemenangan sebenar di lapangan.
“Kerusi-kerusi terbuka ini adalah peluang strategik untuk memperkukuh gabungan. Ia boleh digunakan sebagai ruang pertukaran yang menguntungkan semua pihak.”
Beliau menegaskan bahawa pendekatan ini akan memperkuatkan kerjasama BN-PH-GRS serta mencegah pertembungan dalaman yang boleh menggagalkan peluang kemenangan blok Kerajaan Perpaduan di Sabah.
Semalam Ahmad Zahid mendedahkan beliau sendiri berunding dengan GRS bagi mengelakkan perpecahan undi.
“Saya telah mengadakan pertemuan dengan Datuk Seri Panglima Hajiji minggu lalu dan kita bersetuju untuk meneruskan perbincangan sebelum ianya dimuktamadkan.
“Perbincangan itu akan diikuti oleh mesyuarat untuk memperincikan kerusi-kerusi DUN yang bersesuaian ditandingi oleh Barisan Nasional, Pakatan Harapan (PH) atau parti lain,” katanya.
Rundingan kerusi bagi PRN Sabah yang dijangka diadakan dalam beberapa bulan akan datang kini menjadi tumpuan utama politik negara. BN, PH dan GRS tiga blok utama yang menyokong Kerajaan Perpaduan kini sedang berusaha mencari titik temu dalam soal pembahagian kerusi, calon, serta strategi komunikasi bersama.
Walaupun terdapat spekulasi mengenai pertembungan antara beberapa pemimpin parti di peringkat akar umbi, kenyataan Zahid dan Salleh menunjukkan bahawa usaha untuk membentuk gabungan mantap masih berjalan dan terbuka kepada pelbagai formula penyelesaian.
Salleh menutup kenyataannya dengan menyeru agar semua parti dalam gabungan mengutamakan prinsip muafakat, kebijaksanaan dan fokus kepada rakyat Sabah.
“Kerjasama antara BN, PH dan rakan-rakan sahabat perlu dibina atas prinsip, bukan sentimen. Yang penting ialah memastikan Sabah terus stabil, makmur dan mempunyai kepimpinan yang sehaluan dengan rakyat.” – Suara.TV