Oleh Zihan Zari
JITRA – Pasukan Robotik & Drone Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS) menempa pencapaian hebat dan
membanggakan dalam Kejohanan 18th Federation of International Robot Sports Association (FIRA) Malaysia Cup 2025 di Politeknik Merlimau (PMM) , Melaka baru-baru ini.
POLIMAS berjaya merangkul gelaran Androsot Master (Juara Semua Cabaran) serta menduduki tempat kelima keseluruhan dengan kutipan sebanyak lima pingat, dua emas dan tiga gangsa.
Pencapaian emas dicapai menerusi kategori ANDROSOT yang merekodkan markah tertinggi sebanyak 80 mata, mengatasi pasukan pesaing terdekat serta kategori AiBOT (Cabaran Arahan Suara) yang menampilkan keupayaan sistem robotik berasaskan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang memahami serta melaksanakan arahan suara secara tepat dan efisien.
Manakala, tiga pingat gangsa pula diraih menerusi kategori Androsot (Sepakan Bebas), AiBOT (Cabaran Lihat-Ambil-Letak) dan ACC (Pemanduan Bandar) yang menguji teknologi kenderaan autonomi.
Mengulas mengenai kejayaan itu , Pengurus Pasukan, Ir. Siti Nur Thazliah Mohd Thazali berkata hasil usaha gigih dan kerjasama erat antara pelajar dan pensyarah pengiring sepanjang tempoh latihan serta pembangunan projek membuahkan hasil yang memberangsangkan.
Menurut beliau, setiap kejayaan yang diraih adalah hasil komitmen, dedikasi serta minat mendalam dalam bidang robotik dan teknologi.
“Pelajar POLIMAS telah membuktikan kemampuan mereka untuk bersaing dan mengaplikasikan kemahiran teknikal serta inovasi selari dengan keperluan industri masa kini.
“Penglibatan aktif pelajar dalam kejohanan ini membuktikan keupayaan mereka menghasilkan penyelesaian inovatif yang berpotensi untuk dikembangkan ke peringkat industri.
Kejayaan dalam kejohanan ini bukan sahaja mengharumkan nama POLIMAS, malah membuktikan kecemerlangan pendidikan TVET dalam melahirkan graduan yang berdaya saing serta berketerampilan tinggI, ”katanya.
Abdul Gaffar Jabbar, melahirkan rasa syukur dan teruja atas pencapaian pasukannya.
Beliau yang juga penerima pingat emas kategori ANDROSOT berkata amat berbangga kerana segala penat lelah mereka akhirnya membuahkan hasil.
“Pengalaman bertanding di peringkat kebangsaan bersama rakan sepasukan mengajar mereka erti kerjasama, disiplin dan inovasi.
“Kemenangan ini menjadi pembakar semangat untuk kami terus maju dalam bidang robotik, ”katanya.
Penerima pingat emas kategori AiBOT, Iman Izzuddin Omar Syaharafuddin turut berkongsi kegembiraan.
Beliau berkata kemenangan ini merupakan satu penghormatan besar buat dirinya dan pasukan. Ia membuktikan bahawa usaha mereka untuk membangunkan sistem robotik berasaskan AI mendapat pengiktirafan.
“Saya berharap kejayaan ini akan memberi inspirasi kepada lebih ramai pelajar untuk meneroka bidang teknologi dan inovasi, ”katanya.
Dalam pada itu, Pengarah POLIMAS, Rosli Idris berkata kejayaan ini tidak mungkin dicapai tanpa sokongan padu daripada Ketua-ketua jabatan, para pensyarah pengiring, pegawai pentadbiran serta semua warga institusi yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung, termasuk sokongan logistik dan moral sepanjang kejohanan berlangsung.
“Saya berharap pencapaian ini akan terus menjadi pemangkin semangat kepada pelajar dan pensyarah untuk terus melakar kejayaan yang lebih cemerlang di peringkat lebih tinggi pada masa akan datang, sekaligus mengharumkan nama institusi dan negara di persada antarabangsa, ”katanya.
Kejohanan ini dianjurkan oleh Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) telah berlangsung selama enam hari bertemakan ‘Empowering Innovation Through Robotics and AI’ mengetengahkan solusi kreatif melalui projek inovasi robotik yang berimpak tinggi.
Ia melibatkan 1,613 peserta terdiri daripada 439 pasukan daripada 124 institusi seluruh negara meliputi 64 politeknik dan kolej komuniti (POLYCC), 12 institusi pendidikan tinggi (IPT) serta 48 daripada pihak sekolah.
Juara bagi setiap kategori yang dipertandingkan bakal diberi penghormatan untuk mewakili negara di pentas FIRA Roboworld Cup 2026 di jadulkan berlangsung di Kanada.
Majlis penyampaian hadiah kepada pemenang yang menerima penghargaan berupa plak, sijil dan hadiah iringan telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Ts. Mustapha Sakmud.-SUARA.TV