KUALA LUMPUR, – Parti Islam Se-Malaysia (PAS) tampil memberikan penjelasan panjang lebar terhadap kritikan yang dilemparkan oleh bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin (KJ), berhubung pendekatan pendidikan dan tarbiah parti itu yang disifatkan sebagai berlebihan dan menjurus kepada ketaksuban.
Melalui sebuah penulisan bertajuk “Menilai Kritikan KJ: Matlamat Hidup Beragama dan Perjuangan PAS”, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Dr. Marzuk Shaary menegaskan bahawa pendidikan berterusan yang diterapkan PAS dari peringkat prasekolah hingga dewasa bukan satu bentuk indoktrinasi fanatik, tetapi sebahagian daripada usaha membentuk insan berjiwa Rabbani dan berakhlak tinggi.
“Kami tidak mendoktrin, kami mentarbiah. Dan tarbiah bukanlah penjara pemikiran, tetapi jendela kepada hakikat penciptaan insan,” tegas beliau.
Kritikan asal KJ dibuat dalam podcast “Keluar Sekejap” apabila beliau menyindir pendekatan PAS yang “mendidik dari tadika hingga ke akhirat”, yang didakwa akan melahirkan penyokong taksub dan tidak kritikal. Kenyataan itu mengundang respons balas daripada penyokong PAS serta beberapa tokoh gerakan Islam.
Dr. Marzuk dalam penulisannya menegaskan, pandangan sebegitu lahir daripada kegagalan memahami kerangka pendidikan Islam yang merangkumi seluruh kehidupan manusia dari dunia ke akhirat.
“Mendidik sejak kecil dalam kerangka Islam bukan doktrin ekstrem, tetapi usaha membina kesedaran moral dan spiritual yang tahan terhadap kerosakan zaman,” katanya lagi.
Beliau turut menyanggah dakwaan bahawa PAS menunggang agama, dengan menyatakan bahawa parti itu sejak awal meletakkan al-Quran dan Sunnah sebagai asas perjuangan, serta terbuka kepada kerjasama rentas kaum dan agama melalui platform seperti Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP).
“Jika ada individu penyokong yang bersikap keterlaluan, ia adalah deviasi peribadi, bukan hasil sistematik PAS,” jelasnya.
Artikel sepanjang lebih 6,000 patah perkataan itu juga memetik pengiktirafan antarabangsa terhadap Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, termasuk pelantikan beliau sebagai Naib Presiden Kesatuan Ulama Muslimin Sedunia pada tahun 2014 satu bukti, kata Dr. Marzuk, bahawa PAS bukan gerakan tertutup atau ekstrem seperti yang sering digambarkan.
Mengakhiri tulisannya, Dr. Marzuk menyeru agar kritikan terhadap PAS dilakukan secara jujur dan adil berdasarkan fakta dan bukan prejudis ideologi.
“Kami tampil bukan untuk menyerang, tetapi untuk menerang,” katanya, sambil menegaskan bahawa perjuangan PAS bukan untuk lima tahun pilihan raya, tetapi untuk kehidupan yang lebih kekal dari dunia “sampai akhirat.”