Kuala Lumpur, 29 Jun 2025 – Persatuan Karyawan Malaysia hari ini menyuarakan kebimbangan serius terhadap tindakan segelintir badan kutipan royalti yang telah memfailkan tindakan mahkamah bagi menghalang pelaksanaan Garis Panduan Hak Cipta Organisasi Pengurusan Kolektif 2025 yang diperkenalkan oleh Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) pada Januari lalu.
Presiden Karyawan, Dato’ Freddie Fernandez, menyifatkan tindakan undang-undang ini sebagai satu bentuk penentangan terbuka terhadap usaha reformasi kerajaan yang bertujuan menambah baik sistem pengagihan royalti muzik di negara ini. Katanya, ini jelas memperlihatkan kepincangan yang sedang berlaku dalam industri hak cipta negara — apabila perubahan yang menjamin keadilan kepada para pencipta, pemuzik dan penyanyi ditolak oleh pihak yang sepatutnya melindungi mereka.
Menurut beliau, Garis Panduan MyIPO 2025 merupakan langkah penting dalam mengembalikan kepercayaan kepada sistem kutipan royalti yang telah lama dibelenggu masalah ketelusan, agihan tidak adil, dan tadbir urus yang lemah dalam organisasi pengurusan kolektif (CMO). Garis panduan ini, yang diwajibkan di bawah Seksyen 27M Akta Hak Cipta 1987 (Pindaan 2022), telah diperkenalkan hasil sesi libat urus bersama penggiat industri dan pemegang hak cipta sendiri.
Namun malangnya, badan-badan kutipan seperti Music Authors’ Copyright Protection Berhad (MACP) serta gabungan Public Performance Malaysia Sdn Bhd (PPM) dan Recording Performers Malaysia Berhad (RPM) telah memfailkan saman di mahkamah atas dakwaan bahawa garis panduan tersebut adalah “ultra vires” – atau melangkaui bidang kuasa MyIPO serta bertentangan dengan peruntukan akta-akta tertentu. Tindakan ini telah menamakan tiga pihak sebagai responden, iaitu Pengawal Hak Cipta (Copyright Controller), Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), termasuk menteri yang bertanggungjawab, YB Datuk Amizal.
Persatuan Karyawan menegaskan bahawa Garis Panduan ini bukan hanya melindungi hak lebih 8,000 pemegang hak cipta dari kalangan pemuzik, penyanyi dan komposer, tetapi juga memastikan para pengguna karya muzik yang membayar lesen dapat melihat wang mereka diagihkan secara adil kepada pencipta sebenar. Ini sejajar dengan semangat perjanjian antarabangsa seperti WIPO Performers and Phonograms Treaty 1996 (WPPT 1996) yang telah diratifikasi oleh Malaysia dan mengesyorkan agihan royalti yang lebih adil — seperti nisbah 50:50 antara pelaku dan pemilik rakaman bunyi.
Realitinya, selama ini agihan royalti yang berlaku tidak mencerminkan prinsip keadilan tersebut. Syarikat rakaman menerima bahagian yang jauh lebih besar, manakala penyanyi dan pemuzik hanya menerima sisa. Dalam banyak kes, mereka langsung tidak tahu bagaimana kutipan dan pengagihan itu dilakukan kerana kekurangan ketelusan dalam laporan dan sistem semakan.
Garis Panduan MyIPO 2025 memperkenalkan beberapa ciri penting seperti:
-
Kewajipan laporan kewangan dan agihan yang telus
-
Peruntukan undi yang adil dalam mesyuarat agung
-
Prosedur pemilihan lembaga pengarah yang lebih demokratik
-
Saluran aduan rasmi untuk ahli yang tidak berpuas hati
Menurut Dato’ Freddie, inisiatif kerajaan ini sebenarnya menyelamatkan industri daripada terus terjerumus dalam sistem yang berat sebelah dan dimonopoli oleh segelintir elit dalam badan kutipan. Malangnya, apabila perubahan ini mencabar kedudukan pihak tertentu dalam pentadbiran CMO, maka mereka sanggup menggunakan saluran undang-undang untuk menghalang pelaksanaannya.
Beliau turut melahirkan kekecewaan apabila tindakan mahkamah ini memberi gambaran bahawa industri muzik tempatan tidak menyokong inisiatif kerajaan untuk membantu mereka. “Ini memberi persepsi buruk seolah-olah para pemain industri sendiri tidak menghargai usaha kerajaan,” tegas beliau. “Jika kita menentang garis panduan ini, apa lagi yang tinggal untuk melindungi pencipta, penyanyi, dan pemuzik yang bergantung hidup kepada hasil royalti?”
Menurut beliau lagi, kerajaan telah mengambil pendekatan yang amat inklusif – dengan menubuhkan jawatankuasa protem pembangunan industri muzik, serta merancang penggubalan Akta Industri Muzik yang lebih menyeluruh. Maka tindakan sesetengah pihak yang membawa isu ini ke mahkamah adalah tidak wajar dan boleh melemahkan keyakinan umum terhadap usaha reformasi yang telah bermula.
Dato’ Freddie juga mengingatkan bahawa tindakan undang-undang ini tidak hanya menjejaskan institusi MyIPO, tetapi boleh mencetuskan kesan domino yang menjejaskan kelangsungan sistem royalti, merencatkan pelaburan dalam industri kreatif, dan akhirnya memiskinkan pencipta tempatan.
Persatuan Karyawan menyeru seluruh pemegang hak cipta serta penggiat industri muzik untuk berdiri teguh menyokong garis panduan ini demi memastikan masa depan industri yang lebih adil dan mampan.
“Kita mesti letakkan hak pencipta sebagai keutamaan. Kerajaan telah melakukan kajian, mendengar suara pemegang taruh, dan akhirnya mengemukakan satu garis panduan yang baik untuk semua. Janganlah kerana ingin mempertahankan kepentingan golongan tertentu, kita merosakkan keseluruhan sistem,” ujarnya.
Karyawan mengakhiri kenyataan dengan menyeru agar semua pihak berhenti daripada tindakan yang bersifat sabotaj terhadap reformasi ini, dan sebaliknya bersama membina semula industri muzik negara yang lebih adil, telus dan dihormati.
Majulah hak cipta, majulah industri muzik Malaysia.