KUALA LUMPUR, – Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Bank Rakyat (YBR), Encik Syaiful Rizal bin Abdul Ghani, bersama tiga orang lagi bekas warga kerja YBR, telah memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap Yayasan Bank Rakyat dan Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Bhd (Bank Rakyat).
Saman tersebut difailkan atas dakwaan wujudnya campur tangan oleh Bank Rakyat dalam urusan pentadbiran YBR, yang menurut mereka telah menyebabkan penamatan perkhidmatan secara tidak sah terhadap Encik Syaiful Rizal dan lain-lain.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan, tindakan undang-undang itu diambil susulan penamatan perkhidmatan secara mengejut Encik Syaiful Rizal pada 25 April lalu kerana berkomunikasi dengan staf sedia ada di pejabat.
Beliau mendakwa tidak diberi justifikasi sewajarnya selain dituduh gagal mematuhi tatakelola.
Sementara itu, tiga lagi warga kerja turut ditamatkan atas alasan yang didakwa tidak berasas, dan berpunca daripada campur tangan Bank Rakyat dalam pengurusan YBR.
“Tindakan yang dikenakan bukan sahaja menjejaskan reputasi profesional kami, malah telah mencemarkan integriti institusi. Jika benar ada salah laku, Bank Rakyat sepatutnya melalui proses yang telus dan profesional,” ujar Encik Syaiful Rizal.
Beliau turut mempersoalkan proses audit dalaman yang dijalankan oleh Jabatan Audit Bank Rakyat, dan menyatakan bahawa laporan audit tersebut tidak selari dengan realiti sebenar pengurusan YBR.
“Adalah membimbangkan sekiranya sebuah bank menjadi instrumen untuk menganiaya mana-mana pihak,” katanya dalam kenyataan media.
Encik Syaiful Rizal menambah bahawa pihaknya sentiasa bersedia bekerjasama dengan mana-mana pihak berkuasa sekiranya wujud aduan atau dakwaan salah laku. Namun, beliau turut memberi amaran bahawa mereka tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang jika terdapat laporan yang bersifat palsu atau berniat jahat.
Kesemua plaintif diwakili oleh firma guaman Tetuan Amelda & Partners dalam prosiding ini.