KUALA LUMPUR – Biro Pilihan Raya Amanah Nasional akan terus menyokong penuh usaha Amanah Sabah menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.
Pengarah Pilihan Raya Amanah Nasional Sany Hamzan berkata, Amanah akan terus membantu dari segi latihan, strategi dan gerak kerja supaya persiapan PRN benar-benar rapi.
“Program Gempur Sabah selama tiga hari di DUN Tanjung Aru telah pun selesai dengan penyertaan aktif dan sambutan yang sangat menggalakkan daripada masyarakat setempat.
“Program ini dilaksanakan oleh Biro Pilihan Raya Amanah Nasional bersama pimpinan Amanah Sabah yang diketuai oleh Datuk Lahirul Latigu. Fokus kami jelas, turun padang dengar suara rakyat, dan pada masa yang sama pastikan jentera parti bersiap sedia untuk menghadapi PRN akan datang.
“Sepanjang 3 hari ini, pelbagai aktiviti telah dijalankan. Antaranya ziarah ke rumah warga OKU, lawatan ke gerai peniaga kecil, balai bomba dan polis, penyampaian sumbangan kepada pelajar cemerlang dan keluarga memerlukan melalui Bakul Rahmah. Kami juga sempat bersama anak-anak muda melalui klinik bola dan menyerahkan peralatan sukan sebagai tanda sokongan.
“Lebih penting dari aktiviti itu sendiri adalah ruang untuk kami mendekati masyarakat. Banyak yang kami dengar dari kisah cabaran hidup harian, sehinggalah harapan yang mereka letakkan pada masa depan,” katanya.
Sany memberitahu, mereka tidak datang hanya untuk memberi, tetapi juga untuk belajar dan membina hubungan yang lebih kuat dengan komuniti.
“Di peringkat organisasi, beberapa cawangan baharu berjaya ditubuhkan, langkah penting untuk memperkukuh struktur akar umbi parti.
“Biro Pilihan Raya Amanah Nasional akan terus menyokong penuh usaha Amanah Sabah. Kita akan terus membantu dari segi latihan, strategi, dan penggerakan supaya persiapan PRN benar-benar rapi.
“Tahniah kepada seluruh pimpinan, jentera Amanah Sabah dan Jawatankusa Biro Pilihan Raya Amanah Nasional yang menunjukkan kesungguhan dan komitmen tinggi sepanjang program ini.
“Terima kasih juga kepada warga Tanjung Aru yang menyambut kami dengan baik dan terbuka. Kita teruskan gerak kerja ini dengan semangat yang konsisten, tenang dan teratur menuju kemenangan yang kita usahakan bersama,” ujar Sany.