KUALA LUMPUR, – Bekas Ahli Parlimen PKR dan mantan Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid, hari ini menggesa Menteri di Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Ewon Benedict, untuk segera menyiasat campur tangan oleh Bank Rakyat dalam pentadbiran Yayasan Bank Rakyat (YBR), sehingga membawa kepada pemecatan secara tidak sah ke atas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) YBR, Encik Syaiful Rizal bin Abdul Ghani, dan beberapa pegawai kanan yayasan tersebut.
Dalam sidang medianya, Abdullah Sani yang juga Pengerusi Tekun, agensi di bawah Kuskop, mendakwa bahawa tindakan yang diambil terhadap Syaiful Rizal dan pegawai-pegawai lain bukan sahaja bercanggah dengan Akta Kerja 1955, malah melanggar prinsip tatakelola dan keadilan asas.
“Kalau benar berlaku salah laku, tindakan mesti dibuat mengikut peruntukan undang-undang. Tapi dalam kes ini, tiada surat pertuduhan, tiada siasatan dalaman, dan mereka digantung serta dipecat tanpa prosedur. Ini bukan sekadar salah, ini zalim,” katanya.
Menurutnya, surat pemberitahuan “garden leave” diberikan kepada Syaiful Rizal pada 21 April 2025 tanpa alasan sah, dan penamatan perkhidmatan dilakukan secara mengejut pada 25 April hanya kerana tidak hadir ke pejabat walhal beliau telah diarahkan bercuti dan dilarang memasuki premis.
“Undang-undang pekerjaan tidak mengiktiraf garden leave sebagai asas pemecatan. Kalau ada salah laku, mesti ada surat pertuduhan, disusuli dengan siasatan dalaman dalam masa 14 hari seperti termaktub dalam Seksyen 14 Akta Kerja. Ini tiada. Mereka langgar semua prosedur dan bertindak sesuka hati,” ujar beliau.
Beliau turut mendakwa bahawa Bank Rakyat tidak mempunyai kuasa sah untuk mencampuri urusan pentadbiran YBR, memandangkan yayasan tersebut berada di bawah kuasa Lembaga Pemegang Amanahnya sendiri, bukannya di bawah kawal selia langsung Bank Rakyat.
“Bank Rakyat bukan ‘stakeholder’ yang sah dalam YBR. Mereka tiada kuasa untuk memecat CEO yang dilantik oleh Lembaga Pemegang Amanah. Tetapi mereka tetap bertindak kerana ego dan penyalahgunaan kuasa,” katanya.
Abdullah Sani menyifatkan tindakan tersebut sebagai satu bentuk kezaliman yang mencemarkan reputasi institusi milik kerajaan. Beliau juga membidas tindakan audit dalaman Bank Rakyat yang dijadikan asas pemecatan, sedangkan laporan akhir audit tersebut didakwa tidak konsisten dengan perbincangan dalam sesi “exit meeting” bersama pihak audit.
Syaiful Rizal dalam sidang media sama memaklumkan bahawa beliau telah memfailkan laporan polis pada 9 Jun 2025 dan memfailkan saman di Mahkamah Tinggi pada 5 Jun 2025, serta mengambil tindakan di bawah Seksyen 20 Akta Perusahaan 1967 untuk memulihkan kedudukannya sebagai CEO.
“Kami digantung dan dipecat tanpa sebab munasabah. Tiada peluang bela diri, tiada komunikasi rasmi, dan semuanya berlaku dalam suasana penuh kekaburan. Ini merosakkan maruah profesional kami,” kata Syaiful.
Beliau juga mempersoalkan pelantikan segera CEO baharu YBR hanya empat hari selepas pemecatannya.
“ Saya dipecat 25 April. Pada 29 April, CEO baharu dilantik. Ini menunjukkan semua ini sudah dirancang lebih awal.”
Abdullah Sani menegaskan bahawa jika KUSKOP terus berdiam diri, maka ia seolah-olah merestui kezaliman yang dilakukan oleh pihak atasan terhadap pegawai-pegawai yang berkhidmat dengan penuh dedikasi.
“Ini bukan isu individu, ini isu integriti sistem. Kita tidak boleh benarkan agensi kerajaan jadi alat membalas dendam atau memperkosa keadilan. Saya gesa KUSKOP tampil dan bertindak segera,” katanya tegas.
Beliau juga mempersoalkan kelewatan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Kementerian sendiri dalam menyiasat laporan serta aduan yang telah dibuat, termasuk dakwaan audit dan laporan dalaman yang digunakan sebagai justifikasi pemecatan.
“Kalau benar ada salah laku, bawa ke mahkamah, beri ruang untuk bela diri. Tapi sekarang yang berlaku adalah perbicaraan tanpa penghakiman ini bukan keadilan,” tambahnya.
Beliau menutup sidang media dengan menegaskan bahawa beliau akan terus menyuarakan isu ini demi membela hak pekerja, khususnya dalam agensi kerajaan, dan memastikan prinsip keadilan dalam pentadbiran awam terus ditegakkan.