KUALA LUMPUR,– Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz hari ini mengumumkan secara rasmi bahawa beliau keluar daripada UMNO dan menyatakan hasrat untuk menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Dalam kenyataan yang umum melalui akaun media sosialnya, Tengku Zafrul memaklumkan peletakan jawatannya sebagai ahli Majlis Kerja Tertinggi, Ketua UMNO Bahagian Kota Raja serta ahli UMNO.
“Keputusan ini bukan sebuah keputusan yang mudah… saya telah mengambil masa yang agak panjang untuk memikirkan keputusan ini secara mendalam, terutamanya kerana UMNO adalah satu-satunya parti politik yang saya pernah sertai,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Difahamkan, Tengku Zafrul telah mendapatkan pandangan rakan-rakan politik termasuk Presiden UMNO sendiri sebelum memuktamadkan langkah tersebut, yang dianggap sebagai keputusan strategik menjelang landskap politik baru negara.
Beliau turut mendedahkan bahawa niat untuk menyertai PKR telah pun disampaikan secara rasmi kepada Presiden dan Setiausaha Agung PKR, dan akan melalui proses permohonan seperti biasa.
“Saya telah menyatakan niat untuk menyertai Parti Keadilan Rakyat… dan akan mengikuti proses permohonan lazim,” katanya.
Langkah Tengku Zafrul ini dilihat bakal memberi impak besar terhadap UMNO, khususnya dalam konteks pengaruh beliau di Kota Raja dan peranannya dalam kerajaan. Ia juga menandakan satu lagi pertambahan tokoh teknokrat dalam barisan PKR.
Tengku Zafrul mengakhiri kenyataannya dengan ucapan penghargaan kepada ahli dan penyokong UMNO yang telah bersamanya selama lebih dua dekad.
“Jasa anda tak mungkin akan terbalas dan akan saya kenang sampai bila-bila,” katanya.