KUALA LUMPUR – Permohonan yang difailkan ke Mahkamah Persekutuan adalah satu proses yang sah di sisi undang-undang, bertujuan untuk mendapatkan tafsiran terhadap persoalan perundangan yang kompleks dan signifikan, khususnya melibatkan kedudukan seorang Perdana Menteri dalam menjalankan tugas-tugas rasmi ketika berdepan tindakan sivil atas dakwaan yang berlaku sebelum pelantikan.
Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin menegaskan, tidak ada dalam permohonan tersebut sebarang cubaan untuk mendapatkan kekebalan mutlak.
Sebaliknya tegas beliau, persoalan yang dibawa ialah sama ada tindakan sivil seperti ini boleh mengganggu kecekapan seorang Perdana Menteri dalam melaksanakan fungsi eksekutif negara.
“Saya merujuk kepada kenyataan Lawyers For Liberty yang mendakwa bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim cuba mendapatkan kekebalan undang-undang dalam kes sivil yang difailkan oleh Yusoff Rawther.
“Kenyataan tersebut bukan sahaja tidak tepat malah bersifat mengelirukan dan menanam persepsi yang salah kepada rakyat.
“Ini adalah satu pertimbangan yang wajar dan sah untuk dirujuk ke Mahkamah Persekutuan, institusi kehakiman tertinggi negara yang mempunyai bidang kuasa untuk mentafsir Perlembagaan secara adil dan objektif,” jelas beliau dalam kenyataan media pada Jumaat.
Adalah tidak bertanggungjawab kata Shamsul Iskandar untuk menyamakan permohonan perundangan ini dengan autoritarianisme.
“Malah, di negara-negara yang menjunjung demokrasi, soal qualified immunity sering dibincangkan untuk mengimbangi antara keperluan pentadbiran negara dan hak individu.
“Perdana Menteri bukan berada di atas undang-undang, tetapi beliau juga tidak harus dijadikan sasaran tindakan perundangan bermotif politik yang boleh menjejaskan kestabilan pentadbiran negara.
“Seandainya dakwaan ini benar, sistem kehakiman kita berfungsi dengan telus dan bebas untuk mendengar serta membuat keputusan berdasarkan fakta dan undang-undang, bukan persepsi dan tekanan media.
“Saya menyeru semua pihak agar menghormati prinsip kedaulatan undang-undang dan tidak menyalahguna ruang undang-undang demi membina naratif politik.
” Serahkan kepada mahkamah untuk menilai. Negara ini telah melalui terlalu banyak episod manipulasi perundangan demi kepentingan politik. Segala pertikaian wajar diselesaikan melalui saluran perundangan, bukan dengan manipulasi emosi rakyat,” katanya.