KUALA LUMPUR – Siasatan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) mendapati terdapat pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang gagal mengemas kini dan mengisytiharkan pelupusan harta dalam sistem Maklumat Pengurusan Sumber Manusia (HRMIS).
EAIC dalam kenyataan berkata, pihaknya menerima aduan terhadap JPJ Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPJ KL) membabitkan beberapa nombor pendaftaran kenderaan.
Katanya, siasatan dijalankan berdasarkan aduan diterima mengikut Subseksyen 27(4) Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 [Akta 700].
“Siasatan mendapati terdapat beberapa kenderaan atas nama pegawai JPJ KL masih belum diisytiharkan lupus melalui sistem HRMIS walaupun kenderaan itu sudah tidak berada dalam pemilikannya dalam satu tempoh masa yang lama.
“Hal itu sekali gus melanggar Subperaturan 10(2) Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 [P.U.(A) 395/1993],” kata kenyataan itu lapor Bernama pada Jumaat.
Sehubungan itu, EAIC memutuskan untuk merujuk hasil siasatan kepada Pihak Berkuasa Tatatertib (PBT) JPJ dengan cadangan Surat Teguran diberikan kepada pegawai JPJ terbabit.