Lantik Segera Menteri Ekonomi Baharu Demi Kelancaran RMK13

- Advertisement -

Pelantikan Menteri Ekonomi baharu perlu disegerakan sebelum pembentangan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang dijadual berlangsung pada Julai ini, kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Beliau berkata, dokumen penting seperti RMK13 memerlukan perhatian dan penelitian rapi, termasuk oleh individu yang akan menerajui Kementerian Ekonomi bagi memastikan kelancaran proses pembentangan di Dewan Rakyat kelak.

“Draf RMK13 itu sudah disediakan oleh Datuk Seri Rafizi Ramli yang menerajui Kementerian Ekonomi dan akan dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Jadi saya berpandangan Menteri Ekonomi sangat penting ketika ini bagi memeriksa dan meneliti draf RMK13 sebelum ia dibentangkan Julai nanti.

“Bagaimanapun, pelantikan Menteri Ekonomi baharu itu adalah kuasa mutlak Perdana Menteri,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat PIBG Kolej Vokasional Tanjung Piai, hari ini.

Terdahulu, Rafizi Ramli mengumumkan akan meletak jawatan sebagai Menteri Ekonomi berkuat kuasa 17 Jun, manakala rakan sejawatannya, Nik Nazmi Nik Ahmad, yang mengetuai Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam, bakal berundur pada 4 Julai.

Peletakan jawatan kedua-dua pemimpin PKR itu berlaku selepas kekalahan mereka dalam pemilihan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR 2025. Rafizi tewas dalam usahanya mempertahankan jawatan Timbalan Presiden kepada Nurul Izzah Anwar, manakala Nik Nazmi gagal mengekalkan kedudukannya sebagai Naib Presiden.

Ahmad Maslan dalam pada itu menyampaikan penghargaan kepada Rafizi dan Nik Nazmi atas sumbangan mereka kepada kerajaan dan kementerian masing-masing.

“Sebagai teman, saya mengucapkan terima kasih atas segala khidmat mereka. Keputusan mereka adalah keputusan dalaman parti mereka,” katanya.

Ketika ditanya mengenai pengisian semula kekosongan jawatan menteri berkenaan, Ahmad menyatakan bahawa perkara itu sepenuhnya berada di bawah budi bicara Perdana Menteri.

“Sama ada (pengganti) daripada PKR atau sesiapa saja, itu terpulang kepada Perdana Menteri.

Namun, tentunya pimpinan PKR mendesak kekosongan itu diganti individu daripada parti itu juga, itu logik politiknya.

UMNO melihat dari jauh segala perkembangan yang ada, namun rakyat mungkin melihat dari dekat apa yang berlaku,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat