Dari Warung ke Bursa, Nasken International ungkap perjalanan ke cawangan ke-43 dan Aspirasi IPO 2026

- Advertisement -

Putrajaya, 30 Mei 2025 – Dari sebuah cawangan kecil yang dibina di atas semangat dan impian, kini Nasken International Sdn Bhd melakar sejarah dengan pembukaan cawangan ke-43 mereka di Presint 15, Putrajaya. Di tengah-tengah suasana kota yang serba moden, jenama kafe tempatan ini terus mengangkat cita rasa Malaysia dan semangat kekeluargaan ke pentas nasional – dan kini, mengorak langkah pula ke arah penyenaraian di Bursa Malaysia menjelang 2026.

Perasmian yang berlangsung hari ini disempurnakan oleh YB Nik Nazmi bin Nik Ahmad, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam. Namun, bagi pengasasnya, Mohd Nazif bin Ab Aziz, pencapaian ini bukan sekadar soal angka – ia adalah cerita perjuangan, nilai, dan cita-cita yang lebih besar dari sekadar secawan kopi.

“Nama Nasken itu sendiri ada cerita panjang,” ujar Mohd Nazif ketika ditemubual selepas majlis perasmian. “Ramai tanya, dari mana datangnya nama itu. Sebenarnya, ia gabungan sakinah, yang bermaksud ketenangan – dengan gabungan nama saya sendiri, Naz, dan negeri asal kami, Kelantan.”

“Bagi saya, Nasken bukan hanya nama. Ia adalah perjalanan – perjalanan mencari ketenangan melalui perniagaan. Kita tak nak buat bisnes semata-mata nak kejar duit. Kita nak bina sesuatu yang ada nilai, ada prinsip, dan boleh bantu orang.”

Nilai spiritual yang disemat dalam jenama ini jelas terpantul bukan sahaja pada nama dan slogan mereka “Bukan Sekadar Kopi”, tetapi juga pada strategi mereka membina empayar perniagaan. Bagi Nazif, kejayaan jenama bukanlah sesuatu yang datang dalam sekelip mata – malah, banyak cabaran, kegagalan dan kebimbangan yang telah dilalui di belakang tabir.

Dalam sidang media tersebut, Nazif mendedahkan bahawa Nasken kini sedang dalam proses awal menuju penyenaraian awam (IPO) yang dirancang untuk direalisasikan menjelang penghujung tahun 2026.

“Kami dah mula proses – dokumen-dokumen sedang disusun, peguam dan penasihat korporat sedang dilatih. Kita nak pastikan bila kita ke IPO, kita benar-benar bersedia. Kita tak nak kejar laju sangat, tapi kita juga tak nak lambat sampai,” katanya sambil menekankan kepentingan struktur korporat yang mantap sebelum membuka ruang pelaburan kepada umum.

Baginya, IPO bukan semata-mata untuk mendapatkan dana – tetapi untuk membangunkan keselamatan dan kestabilan jangka panjang bagi jenama dan staf mereka, serta memperluas lagi impak sosial dan ekonomi yang boleh dicapai.

“Bila kita IPO, kita ada sekuriti. Kita boleh bantu lebih ramai orang, bukan hanya pekerja kita – tapi juga pelanggan, pembekal, dan komuniti sekeliling,” tambahnya.

Walaupun berpangkalan di Kelantan, Nasken kini mempunyai cawangan di pelbagai negeri termasuk Lembah Klang, Negeri Sembilan, Pahang dan Terengganu. Yang menariknya, strategi pengembangan mereka bukan bergantung semata-mata kepada kawasan bandar utama.

“Kita nak jadi hero di kampung dulu,” kata Nazif dengan yakin. “Bila dah kukuh di kampung, baru kita ke seluruh Malaysia. Sekarang ni, kita tengah kuatkan asas di Kelantan – dan InshaAllah, kita sasar buka di KLIA2 Gateway Ogos nanti, dan selepas tu kita sasarkan Timur Tengah, mungkin bermula dengan Madinah.”

Strategi ini menunjukkan pendekatan ‘bottom-up’ – membina kekuatan akar umbi sebelum menawan pasaran antarabangsa. Ia juga disokong oleh infrastruktur dalaman seperti kilang kek dan pastri sendiri, kilang minuman, sistem logistik dalaman serta pensijilan halal yang telah diperoleh untuk produk utama mereka.

Berbeza dengan jenama kopi lain yang hanya berfokus pada trend atau minuman semata-mata, Nasken menekankan suasana dan pengalaman menyeluruh. Setiap cawangan direka sebagai ruang santai dan tenang, di mana pelanggan boleh datang bukan sahaja untuk makan dan minum, tetapi juga bekerja, berbual, atau sekadar mencari ketenangan.

“Kalau tengok komen pelanggan, ramai datang sebab rasa selesa. Nak buat kerja pun boleh, nak tenangkan diri pun boleh. Kita tak nak orang datang dan rasa stress. Kita nak mereka rasa macam balik kampung,” katanya.

Dari segi menu pula, Nasken terus menambah baik dengan produk seperti kek tiramisu, kek buttercream harga berpatutan (RM10 sahaja), serta menu lokal seperti nasi lemak dan mi goreng yang dimasak segar dari dapur – bukan dari produk beku.

Menjawab persoalan tentang persaingan dalam pasaran kafe dan makanan, Mohd Nazif tegas bahawa Nasken tidak cuba meniru mana-mana jenama besar.

“Kita bukan nak bersaing dengan sesiapa. Kita ada identiti kita sendiri. Kita ada kek, kita ada makanan berat, kopi – semua segar, semua dari dapur sendiri. Kita bukan sekadar kopi. Kita bawa cerita, suasana dan nilai,” tegasnya.

Bagi meraikan pembukaan cawangan baru di Presint 15 Putrajaya, Nasken menawarkan promosi potongan harga 50% untuk menu terpilih di semua cawangan mereka di seluruh Malaysia. Tawaran ini disifatkan sebagai penghargaan kepada pelanggan yang sentiasa menyokong mereka sejak awal penubuhan.

Dari sekadar impian kecil di Kelantan, Nasken kini menjadi simbol jenama tempatan yang bukan sahaja menjual makanan, tetapi menyajikan nilai, pengalaman dan hala tuju yang jelas. Dengan strategi mantap, semangat komuniti dan kekuatan dalaman yang semakin tersusun, impian untuk melihat nama Nasken tersenarai di papan Bursa bukanlah sesuatu yang jauh.

“Kita bukan sekadar nak buat bisnes. Kita nak bina satu perjuangan – satu ketenangan, yang kita kongsi dengan semua orang,” kata Nazif, menutup bicara.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat