KUALA LUMPUR- Laporan akhir Lembaga Siasatan nahas dua helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Lumut pada 23 April lalu, merumuskan bahawa salah satu pesawat tidak berada pada haluan yang ditetapkan.
Selain itu Lembaga Siasatan turut mendapati pesawat AS 555 SN Fennec tidak berada pada ketinggian ditetapkan.
Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Rahman Ayob, berkata dapatan itu diperoleh selepas semakan rakaman video berdurasi 7 saat kedudukan tujuh helikopter yang terbabit dalam raptai Hari Ulangtahun TLDM ke-90.
“Faktor utama mendapati pesawat Fennec tidak berada pada ketinggian dan haluan yang ditetapkan serta memasuki laluan pesawat Helikopter Operasi Maritim (HOM) AW139.
“Berdasarkan rakaman kedudukan semua pesawat berkenaan, dua helikopter yang terbabit dalam nahas udara berada pada haluan dan ketinggian berbeza dengan dua lagi pesawat yang berada di haluan sebelah kanan.
“Faktor sekunder mendapati Channelized attention atau tumpuan utama kru pesawat AW139 yang tertumpu ke arah pertukaran haluan telah mengehadkan reaksi mengelak pelanggaran,” katanya lapor BH pada Khamis.
Dalam tragedi 23 April lalu, 10 anggota dan pegawai TLDM terdiri tujuh kru Helikopter Operasi Maritim (HOM-AW139) dan tiga kru Fennec TLDM terkorban selepas dua pesawat itu bergesel dan terhempas ketika menjalani raptai lintas hormat sempena sambutan Ulang Tahun TLDM ke-90 di Pangkalan TLDM Lumut.
Susulan nahas itu, laporan awal dikeluarkan Lembaga Siasatan dua helikopter terhempas di Pangkalan TLDM Lumut mendedahkan terdapat lima fakta berhubung tragedi itu.
Laporan awal antaranya menyatakan semua kru terbabit dalam kejadian berkenaan berada pada tahap kesihatan yang baik untuk mengendalikan pesawat dan tahap kelayakan penerbangan kru udara terbabit juga masih sah dan tidak tamat tempoh.
Kedua-dua helikopter itu juga disahkan dalam keadaan selamat untuk terbang pada hari kejadian, dengan pesawat HOM AW139 mempunyai kotak hitam, manakala pesawat Fennec yang dikeluarkan pada 2003 dan berusia 21 tahun tidak dilengkapi peralatan itu.