60,000 Remaja Dikenal Pasti Terlibat Aktiviti Penagihan Dadah

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Seramai 60,000 remaja di negara ini dikenal pasti terjebak dalam kegiatan penyalahgunaan dadah manakala kira-kira 106,000 lagi memiliki sejarah pengambilan barangan terlarang itu.

Data itu didedahkan dalam laporan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2022 oleh Institut Kesihatan Awam (IKU) Kementerian Kesihatan (KKM).

Ia menjadikan pelajar berusia 13 hingga 17 tahun sebagai responden bagi mengenal pasti tingkah laku dan trend kesihatan remaja dengan tinjauan itu dilaksanakan antara 12 Jun hingga 8 Julai 2022.

NHMS 2022 antara lain mendedahkan tiga daripada empat remaja berusia antara 13 hingga 17 tahun yang pernah terjebak dalam kegiatan itu, mula mengambil dadah seawal usia 14 tahun.

Laporan bertajuk` Tinjauan Kesihatan Remaja’ itu turut mendedahkan responden kajian berkenaan menggunakan pelbagai jenis dadah.

Penemuan sama turut menggariskan keperluan mendesak bagi intervensi awal, program pendidikan dan rangkaian sokongan untuk mencegah risiko ketagihan dadah dalam kalangan remaja.

Tinjauan sama mendapati sebanyak 2.8 peratus responden mengakui pernah menggunakan inhalan seperti gam dan cat, manakala ketum (2.3 peratus).

Selain itu, sebanyak 1.1 peratus responden dikenal pasti pernah menghisap ganja sekurang-kurangnya sekali, manakala satu peratus mengakui pernah menggunakan amphetamina dan syabu.

Laporan sama turut mendedahkan 38.4 peratus responden membeli dadah secara terus daripada seseorang, manakala 23.1 peratus lagi meminta pihak lain untuk membelikan barangan terlarang itu.

Sebanyak 13.9 peratus responden pula dikenal pasti mendapat akses kepada dadah menerusi rakannya, selain 9.7 peratus lagi memaklumkan menggunakan akses lain bagi mendapatkan bekalan terbabit.

Lebih membimbangkan apabila 14.9 peratus responden mengakui melakukan kegiatan mencuri sebagai akses kepada modal untuk membeli dadah.

Sementara itu, hasil tinjauan turut mendedahkan satu daripada lima responden dikenal pasti mengambil minuman keras, sekurang-kurangnya sekali, manakala hampir tujuh peratus lagi dikesan masih mengambil arak.

Sebanyak 65 peratus daripada responden yang mengambil minuman keras itu dikenal pasti mula terjebak kegiatan itu pada usia 14 tahun. Laporan sama turut mendedahkan seramai 25 peratus daripada responden berkenaan dikesan pernah mabuk.

Perincian kajian mendapati, 55 peratus daripada remaja yang mengambil minum keras mendapat akses daripada keluarga masing-masing, manakala 19 peratus lagi membelinya dari kedai dan 13 peratus mendapat bekalan daripada rakan.

Sebanyak 73 peratus responden itu dikenal pasti memiliki ibu bapa yang mengambil alkohol, manakala 86 peratus pula memiliki rakan yang minum arak.

Peratusan pengambilan alkohol dalam kalangan remaja menunjukkan pola naik turun dengan 8.9 peratus direkodkan pada 2012 dan meningkat kepada 10.2 peratus pada 2017, sebelum menurun kepada 7.4 peratus, tahun lalu. – BH

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat