Majlis perkahwinan anak kepada Allahyarhamah Faziani Rohban Ahmad, pengasas produk penjagaan wajah terkemuka Dnars Skincare, mencuri perhatian ramai selepas ia mendapat pujian meluas – termasuk daripada pempengaruh terkenal, Izmer Mustapha atau lebih dikenali dengan nama media sosialnya, Abang Lal Senok Perut.
Anak kepada usahawan kosmetik itu, Irdina Hakim Jasman, 22, sah bergelar isteri kepada jejaka pilihan hati, Muhammad Farez Zuhaily Shah, 23, dalam satu majlis akad nikah yang diadakan pada 25 April lalu. Majlis yang berlangsung di kediaman arwah ibunya di Tumpat ini bukan sekadar sebuah upacara penyatuan dua hati, malah menjadi simbol nilai-nilai murni seperti kesederhanaan, keterbukaan dan kasih sayang dalam masyarakat.
Dalam hantaran media sosialnya, Izmer meluahkan rasa kagum terhadap cara majlis itu dilaksanakan. Katanya, walaupun keluarga pengantin berkemampuan mengadakan majlis mewah di hotel, mereka memilih untuk meraikan hari bahagia itu di rumah keluarga sendiri – lokasi yang penuh dengan kenangan arwah ibu pengantin perempuan.
“Kalau nak buat gempak kat hotel, memang mampu. Tapi dia pilih buat di rumah arwah ibu. Majlis yang sangat membumi, semua orang dijemput, semua orang dilayan sama rata,” kata Izmer dalam hantaran yang menjadi tular di Facebook.
Menurutnya lagi, apa yang lebih menyentuh hati ialah tiadanya pembahagian VIP atau tetamu berpangkat dalam kenduri tersebut. Layanan yang diberikan kepada para tetamu adalah sama rata, mencerminkan sikap merendah diri keluarga pengantin.
Majlis yang dihadiri kira-kira 5,000 tetamu itu menyaksikan kehadiran pelbagai golongan – daripada ahli keluarga, sahabat handai, saudara mara, pelanggan dan pengguna setia produk Dnars hinggalah kepada penduduk setempat dan para pengikut di media sosial.
Kehadiran mereka membuktikan bahawa hubungan baik yang dibina oleh arwah Faziani dan keluarganya dengan masyarakat kekal kukuh, biarpun beliau telah lama pergi meninggalkan dunia. Malah, suasana majlis yang penuh meriah dan harmoni menjadi bukti bahawa warisan nilai yang ditinggalkan oleh arwah terus diamalkan oleh ahli keluarganya.
Hantaran Izmer disambut baik oleh warga maya. Ruangan komen dibanjiri pelbagai reaksi positif yang memuji sikap terbuka keluarga pengantin serta pendekatan bersederhana yang dipilih.
“Macam ni baru betul. Yang support bisnes ni kebanyakan orang biasa,” komen Neesa Roslan.
“Orang yang tahu hukum hakam Islam memang sepatutnya buat majlis yang tidak membeza-bezakan para undangan,” tambah Nik Yah Nik Mood.
Ramai netizen turut menyatakan bahawa wajah Irdina Hakim saling tak tumpah seperti arwah ibunya, membuatkan mereka terkenang kembali kepada sosok wanita berjiwa rakyat yang disayangi ramai itu. Gambar dan video sekitar majlis yang dikongsikan di media sosial telah menerima ribuan tanda suka dan dikongsikan oleh ramai pengguna, menandakan impak positif daripada majlis itu.
Di kala ramai pasangan memilih untuk mengadakan majlis perkahwinan besar-besaran di lokasi mewah sebagai lambang status atau kejayaan, majlis perkahwinan Irdina dan Farez menjadi satu contoh bahawa kesederhanaan dan keterbukaan lebih menyentuh hati masyarakat.
Ia bukan sahaja menjimatkan kos, malah mampu mengeratkan hubungan sesama insan tanpa batasan darjat atau kedudukan.
Majlis ini membuktikan bahawa nilai-nilai kemanusiaan, hormat kepada tetamu, dan mengangkat semangat komuniti boleh dijadikan elemen penting dalam sesuatu perayaan – lebih-lebih lagi dalam sebuah institusi yang suci seperti perkahwinan.