Sudah Beberapa Kali Saya Nyatakan Kepada Zahid Hasrat Nak Letak Jawatan – Sulaiman

- Advertisement -

MASJID TANAH – “Tiada desakan atau paksaan daripada mana-mana pihak untuk saya meletakkan jawatan Ketua Menteri Melaka,” kata Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Sebaliknya, beliau berkata, langkah yang diambil itu hanya mengikut desakan hati yang selama ini ‘meronta’ supaya jawatan yang digalas itu dapat diserahkan segera kepada orang lain yang lebih berkemampuan.

Katanya, mungkin sudah sampai masanya untuk beliau melepaskan jawatan Ketua Menteri, sekali gus dapat merealisasikan hasrat untuk memegang jawatan itu hanya sepenggal.

“Keputusan itu (meletak jawatan) sudah lama dibuat kerana `desakan hati’ selain pernah beberapa kali menyatakan hanya ingin memikul tanggungjawab berkenaan hanya sepenggal.

“Apa nak komen lagi, kenyataan sudah dikeluarkan kerajaan negeri dan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Apa yang (mereka) cakap, itulah dia (yang sebenarnya).

“(Tiada) desakan, (ini) desakan hati saya dan datangnya daripada naluri. Sudah penatlah (kerja), berilah orang lain peluang pula, itu saja,” katanya selepas menyampaikan sumbangan Ramadan Parlimen Masjid Tanah di Kompleks Jawatankuasa Penyelaras Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Kuala Linggi, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Linggi, Rosli Abdullah.

Mengulas lanjut, Sulaiman yang juga ADUN Lendu turut mengakui sudah beberapa kali menyatakan hasrat melepaskan jawatan itu kepada Ahmad Zahid sebelum ini, namun tidak ditunaikan.

Sehubungan itu, beliau mengharapkan penggantinya kelak dapat menjalankan tanggungjawab dengan lebih baik dan sempurna berbanding sekarang.

“Masing-masing ada kelebihan, kita mesti sokong dan saya harap siapa saja yang akan menggantikan saya, buatlah yang terbaik demi rakyat dan negeri Melaka ini,” katanya.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zaidi Johari hari ini memaklumkan, Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd Rustam sudah menerima surat peletakan jawatan Sulaiman sebagai Ketua Menteri Melaka Ke-12.

Sehubungan itu, berdasarkan Perenggan (a), Fasal 2, Perkara 7, Perlembagaan Negeri Melaka, Yang Dipertua Negeri Melaka perlu melantik seorang ADUN sebagai Ketua Menteri Melaka yang baharu untuk mengetuai Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Melaka.

Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Angkat Sumpah Jawatan, Taat Setia serta Sumpah Simpan Rahsia Ketua Menteri Melaka Ke-13 akan diadakan jam 3 petang esok. – BH

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat