DOHA – Malaysia dan Qatar sama-sama mempunyai peluang dan perlu meningkatkan lagi prestasi perdagangan dan pelaburan dua hala.

Ketika menyuarakan keyakinan itu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata ini berikutan terdapat peningkatan signifikan dalam nilai dagangan Malaysia dan Qatar walaupun dunia masih bergelut dengan ancaman pandemik COVID-19.

Beliau berkata, nilai dagangan bagi tempoh dua bulan pertama tahun ini menunjukkan peningkatan sebanyak 30.9 peratus kepada RM610 juta berbanding RM470 juta bagi tempoh yang sama tahun lalu.

“Saya percaya kedua-dua negara masih mempunyai peluang untuk meningkatkan lagi prestasi perdagangan dua hala tersebut.

“Saya juga berterima kasih kerana Qatar memilih Malaysia sebagai destinasi utama pelaburan di Asia Tenggara, khususnya dalam sektor hartanah dan perkhidmatan.

“Sehingga kini, nilai pelaburan Qatar di Malaysia melebihi RM13.49 bilion (US$3.2 billion),” katanya memetik Bernama pada sidang media bersama media Malaysia pada akhir lawatan rasmi tiga hari beliau ke Qatar.

Ismail Sabri yang tiba di Doha pada Sabtu lalu berkata, dalam pertemuannya dengan Amir Qatar Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani sejurus majlis sambutan rasmi di Amiri Diwan pagi tadi, kedua-dua pihak turut bersetuju untuk mengadakan perbincangan lanjut bagi menentukan sasaran pelaburan yang ingin dicapai dalam masa dua tahun.

“Mengambil kira pembukaan sempadan kedua-dua negara dan fasa peralihan ke endemik, saya percaya Malaysia dan Qatar perlu mengambil peluang untuk mengukuhkan lagi kerjasama dua hala dalam pelbagai bidang, khususnya industri halal, makanan, perbankan Islam, tenaga boleh baharu serta minyak dan gas,” katanya.

Perdana Menteri berkata, lawatan beliau ke Ladang Lembu dan Kilang Pengeluaran Tenusu Baladna semalam, juga membolehkan memorandum kerjasama (MoC) yang ditandatangani pada 2019 bagi Baladna menjadi rakan kongsi FGV Holdings Bhd (FGV) dan Felcra Bhd dalam projek usaha sama ladang tenusu berskala besar di Malaysia, dipersetujui untuk dimuktamadkan selewat-lewatnya Jun ini.

“Kerjasama strategik antara Baladna, FGV dan Felcra Bhd melibatkan pelaburan sebanyak RM2.1 bilion (US$500 juta) bagi pembangunan projek tenusu berskala besar di Chuping, Perlis.

“Baladna juga bersetuju untuk menambah pelaburan sebanyak RM2.1 bilion (US$500 juta) lagi bagi pembangunan projek tenusu di Pahang.

“Pelaburan ini akan mewujudkan lebih 2,000 peluang pekerjaan dan meningkatkan daya saing industri tenusu tempatan,” katanya.

Ismail Sabri berkata dalam pertemuan dengan Sheikh Tamim, Malaysia turut mengetengahkan beberapa cadangan untuk penerokaan peluang-peluang pelaburan di Qatar kepada syarikat-syarikat Malaysia.

Antaranya, North Field Expansion Project yang meliputi tiga fasa.

“Saya juga mencadangkan Petronas diberi peluang untuk terbabit dalam projek ini. Alhamdulillah, cadangan saya disambut baik oleh Amir Qatar,” katanya.

Perdana Menteri juga berkata, dua lagi cadangan adalah supaya Malaysia dijadikan hab penerbangan Qatar Airways untuk ke negara-negara ASEAN dan supaya Qatar mengimport lebih banyak minyak sawit Malaysia sebagai alternatif kepada minyak bunga matahari.

Pada sidang media sama, Ismail Sabri turut merakamkan penghargaan atas komitmen Qatar menjadi tuan rumah bagi Forum Ekonomi Dunia Islam (WIEF) ke-14 pada tahun depan.

“WIEF berpotensi membantu komuniti perniagaan terutamanya di negara-negara Islam yang telah terkesan oleh pandemik COVID-19,” katanya.