Tiga Perjanjian Libatkan Ekonomi Hijau, Digital & Keselamatan Siber Dimeterai Di Singapura – PM

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Singapura hari ini menyaksikan tiga perjanjian dimeterai antara Putrajaya dan Singapura meliputi aspek ekonomi digital, ekonomi hijau dan keselamatan siber.

Dua rangka kerja melibatkan kerjasama dalam ekonomi digital serta ekonomi hijau ditandatangani Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan rakan sejawatnya Gan Kim Yong bagi pihak Singapura.

“Sementara itu, Menteri Komunikasi dan Digital Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil pula mewakili Malaysia untuk menandantangani memorandum persefahaman (MoU) bagi mempromosikan kerjasama dari aspek data, keselamatan siber dan ekonomi digital,” kata Anwar menerusi hantaran di laman rasmi Twitter beliau.

Perdana Menteri hari ini mengetuai delegasi Malaysia ke Singapura dalam pertemuan dengan rakan sejawatnya Lee Hsien Loong.

Ia merupakan lawatan rasmi pertama Anwar ke Singapura selepas menyandang jawatan Perdana Menteri Ke-10 Malaysia.

Beliau berkata pertemuan tersebut memberi peluang untuk meneroka bentuk kerjasama bagi meningkatkan lagi hubungan dua hala Malaysia-Singapura selain menjalin bekerjasama secara konstruktif serta menghasilkan situasi menang-menang untuk manfaat kepada rakyat serta perniagaan kedua-dua negara.

“Kami turut berpeluang membincangkan pelbagai isu serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama,” katanya.

Sebelum ini Tengku Zafrul berkata bahawa perbincangan dengan Singapura mengenai Memorandum Kerjasama (MOC) dalam perdagangan digital dan ekonomi hijau itu bermula pada tahun lepas dan telah diberikan kelulusan oleh kabinet untuk dimuktamadkan tidak lama lagi.

MOC itu adalah susulan rangka kerja kerjasama yang dimuktamadkan oleh kedua-dua negara pada Ogos 2022.

Rangka kerja dalam ekonomi digital akan memudahkan kerjasama dalam bidang seperti pemudahan perdagangan; identiti digital; piawaian; penggalakan pelaburan; pemudahan pendigitalan serta pendigitalan perusahaan mikro, kecil dan sederhana.

Ia bakal membuka peluang yang lebih luas serta memberi manfaat kepada perniagaan, pekerja dan rakyat di kedua-dua negara.

Dari aspek ekonomi hijau pula, kedua-dua negara akan mengukuhkan kerjasama untuk nyahkarbon industri selain membolehkan perniagaan dan pekerja merebut peluang yang muncul. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat