KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan hukuman penjara 7 tahun, dua sebatan rotan, dan denda RM10 juta terhadap Syed Saddiq Syed Abdul Rahman adalah sesuai memandangkan golongan muda memandang tinggi ahli Parlimen Muar itu.
Dalam alasan penghakiman bertarikh semalam, hakim Azhar Abdul Hamid berkata hukuman tersebut munasabah kerana mahkamah mengambil maklum berkenaan kekerapan kes pecah amanah jenayah (CBT) dan salah guna kuasa yang dibawa ke mahkamah pada masa ini, lapor Malaysiakini pada Jumaat.
“Kedudukan OKT (orang kena tuduh) sebagi tokoh awam, ahli Parlimen yang menjadi idola di kalangan anak muda juga diberikan penekanan.
“Kes Datuk Haji Harun Haji Idris & lain-lain lawan pendakwaraya menyatakan bahawa terdapat keperluan untuk mereka yang merupakan tokoh awam untuk menunjukkan contoh yang baik kepada mereka yang lain,” katanya.
Sebagai ahli Parlimen dan idola golongan muda, hakim berkata Syed Saddiq wajar diletakkan pada standard yang lebih tinggi dan menunjukkan contoh baik untuk terus menjadi ikutan anak-anak muda, selain melaksanakan tanggungjawab sebagai wakil rakyat yang dipilih oleh penduduk Muar untuk memperjuangkan hak mereka.
Dalam menjatuhkan hukuman, Azhar juga berkata mahkamah mengambil maklum yang ia merupakan kesalahan pertama Syed Saddiq dan usianya yang masih muda.
“Usia OKT yang masih muda juga menjadi pertimbangan mahkamah ini. Dalam usia ini, OKT masih mempunyai banyak masa lagi untuk menyedari dan memperbaiki kesilapan yang telah dilakukan serta mengambil iktibar dari apa yang telah berlaku,” katanya lagi.
Pada 9 November tahun lalu, Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman itu setelah mendapati Syed Saddiq, 31, bersalah atas empat pertuduhan CBT, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram berkaitan dana Pemuda Bersatu bernilai RM1.12 juta.
Bagaimanapun, Azhar membenarkan permohonan bekas ketua Pemuda Bersatu itu untuk menangguhkan hukuman sementara menunggu proses rayuan di Mahkamah Rayuan.
Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan bekas penolong bendahari Pemuda Bersatu, Rafiq Hakim Razali, yang diamanahkan dengan dana RM1 juta milik Pemuda Bersatu, untuk melakukan CBT.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral pada 6 Mac 2020.
Dakwaan dibuat di bawah Seksyen 406 Kanun Keseksaan, membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun, sebatan dan denda.
Dia juga dituduh menyalahgunakan RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan meminta Rafiq melupuskan dana tersebut.
Kesalahan ini didakwa berlaku di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya antara 8 hingga 21 April 2018.
Dakwaan itu dibuat di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan, membawa hukuman maksimum penjara lima tahun, sebatan dan denda.
Dia juga berdepan dua pertuduhan melibatkan diri dalam pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001, yang membawa hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda lima kali ganda jumlah atau hasil wang yang terlibat.