KUALA LUMPUR – Takrifan T15 masih dalam kajian kerajaan dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berpendapat jumlah yang ditetapkan Jabatan Perangkaan (DOSM) bagi golongan itu ketika ini, iaitu kira-kira RM13,000 mungkin terlalu rendah.
Justeru kata Anwar, rencana sekarang yang dibincangkan oleh jabatan-jabatan berkaitan Kementerian Kewangan dan Kementerian Ekonomi dan
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri ialah untuk menaikkan sedikit, supaya tidak membebankan.
“Berkait kedudukan T15, maknanya kita lepaskan tanggungjawab ini membayar kepada B40, M40 dan bila dikaji T20 ada rangkaian daripada T20 ini peringkat-peringkat bawah itu mungkin pendapatannya agak sedikit rendah, maka dinaikkan dan ini bukan perkara baru.
“Sebab dalam penyasaran subsidi diesel digunakan prinsip yang sama T15. Apa kuantumnya? Itu sedang dikaji, kerana kita rasa yang ditekankan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) sekitar RM13,000 mungkin terlalu rendah.
“Jadi pendapatan sesi keluarga itu tidak terikat dengan yang ada sekarang. Bila hendak dilaksanakan, kita jawab sekitar pertengahan tahun.
“Soal penurunan ada kaitan dengan penurunan, harga umpamanya kalau diesel memang turun hampir 40 sen walaupun tidak dicanangkan, jadi maknanya janji turun, turun lah, cuma belum lagi RON95,” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, pada Selasa.
Beliau menjawab soalan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) mengenai definisi T15 dalam soal subsidi bersasar untuk petrol RON95 seperti yang dinyatakan dalam Belanjawan 2025.
Menteri Kewangan itu menegaskan, perkara yang penting ialah penyasaran subsidi tidak membebankan 85 peratus rakyat.
“Jadi sepatutnya kita janganlah jadi jaguh T15 seperti mana disuarakan banyak pihak pembangkang.
“Kalau dikatakan baik jangan bebankan dikalangan T15 yang pendapatan itu rendah, saya boleh terima. Sebab ini yang menyebabkan keputusan kita buat daripada T20 jadi T15.
“Kemudian menangguhkan kerana kita kaji pendapatan seisi rumah kalau sekitar RM13,000 mungkin tidak termasuk dalam golongan yang agak berpendapatan yang lumayan.
“Tetapi kalau 5 peratus di atas itu, kalau bila kita pertahan T15 kita pertahan semua, orang dapat RM100,000 sebulan, RM1 juta sebulan,
ada.
“Jadi mengapa tidak ada pendirian untuk menyatakan ya, wajar kita kenakan bayaran semasa ikut pasaran kepada golongan maha kaya dan golongan teratas, itu pun tidak boleh. Ini yang dibangkitkan,” kata Anwar.