20 agensi pelbagai kepakaran gagal rungkai misteri dentuman kuat Ipoh

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Mesyuarat khas 20 agensi merentasi pelbagai kepakaran hari ini, merumuskan punca gegaran dan dentuman kuat di sekitar bandar raya ini pada 21 Oktober lalu kekal misteri yang belum dapat dirungkai.

Perbincangan disertai Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Pegawai Daerah Kinta bermula jam 11 pagi di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, di Ipoh.

Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris, berkata semua pakar mengemukakan pandangan saintifik bagaimana gegaran itu ditimbulkan.

Bagaimanapun, katanya, mesyuarat menolak tiga teori merangkumi faktor penerbangan, aktiviti ekonomi dan gegaran dalam bumi.

“METMalaysia mengatakan kejadian ini tidak mirip gempa bumi, tidak mirip pergerakan di kerak bumi dan tidak terkesan daripada letupan di negara jiran.

“Kita lihat juga kemungkinan elemen sonik berpunca daripada penerbangan di udara, kita tolak sepenuhnya kerana ruang udara ketika itu terkawal, tiada penerbangan dan sistem radar tidak mengesan sebarang penerbangan.

“Ketiga, andaian letupan dari kuari atau aktiviti ekonomi sekitar Ipoh juga ditolak kerana berdasarkan kaedah letupan dibenarkan dengan kawalan ketat, ia tidak mungkin menimbulkan gegaran sekuat itu,” katanya lapor BH, pada Selasa.

Beliau berkata demikian pada sidang media di IPK Perak, selepas mempengerusikan mesyuarat khas bersama 20 agensi terbabit.

Azizi berkata, siasatan punca kejadian gegaran dan dentuman kuat itu akan diteruskan sekiranya wujud bukti baharu.

Setakat ini, katanya, tiada kerosakan harta dan nyawa dilaporkan berhubung kejadian itu.

“Orang ramai tidak perlu takut, kejadian seumpama ini pernah berlaku bermula 2012, disusuli 2018 dan terbaharu 21 Oktober lalu.

“Kita akan teliti aspek lain termasuk gua batu kapur dengan lebih lanjut tetapi METMalaysia mengesahkan Ipoh tidak mengalami apa-apa segi gegaran permukaan bumi.

“Berkenaan keselamatan aktiviti pelancongan dan keagamaan di gua sekitar Ipoh, kita minta pihak terbabit buat pemeriksaan rapi mengenai kesan gegaran.

“Pihak JMG bersama agensi lain akan buat pemantauan dan kajian lanjut,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat