Agong zahirkan Ucapan Tahniah Kepada Cikgu Sam

- Advertisement -

CYBERJAYA: KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong menzahirkan ucapan tahniah kepada Samuel Isaiah, guru Bahasa Inggeris Sekolah Kebangsaan Runchang di Muadzam Shah, Pahang, di atas kejayaan beliau dipilih sebagai 10 finalis Anugerah Hadiah Guru Global 2020.

Al-Sultan Abdullah menzahirkan rasa suka cita dan bangga atas dedikasi serta usaha-usaha murni guru muda dari Kuantan, Pahang ini dalam mendidik murid-murid sehingga terpilih sebagai calon untuk menerima anugerah tersebut, yang sekali gus juga mengharumkan nama negara di persada antarabangsa.

Sehubungan itu, Al-Sultan Abdullah menzahirkan harapan semoga pencapaian hebat dan komitmen beliau menjadi sumber inspirasi dan contoh kepada seluruh rakyat Malaysia, khususnya para guru, untuk memberi yang terbaik dan berusaha mencapai kejayaan dalam bidang masing-masing di dalam negara mahupun di persada dunia.

Seri Paduka Baginda turut mengucapkan selamat maju jaya kepada beliau dan mendoakan semoga beliau memenangi anugerah tersebut serta dilimpahi kejayaan cemerlang berterusan dalam bidang pendidikan.

Menurut kenyataan penganjur Yayasan Varkey di London, Samuel dipilih daripada 12,000 pencalonan dari lebih 140 negara.

Anugerah yang menawarkan hadiah US$1 juta (RM4.16 juta), adalah program pengiktirafan guru dianjurkan dengan kerjasama Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Samuel telah memperkenalkan pelbagai inovasi untuk memberi inspirasi kepada murid-murid beliau yang terdiri daripada Orang Asli untuk menyimpan impian yang besar serta berusaha menghubungkan mereka ke dunia luar.

Antara program diperkenalkan oleh beliau ialah projek pertukaran e-mel dikenali sebagai ‘Asli E-Pal’, yang mana para murid boleh berkomunikasi dalam bahasa Inggeris dengan sukarelawan yang lebih dewasa dalam dan luar negara.

Manakala, program ‘Speak Up With Poetry’ (Bersuara dengan Puisi) yang diperkenalkan oleh Samuel pula ialah projek kerjasama beliau dengan penyair amatur yang menulis puisi berkaitan kebudayaan Orang Asli dan kemudiannya murid-murid boleh menonton program itu dalam bentuk video untuk pembelajaran bahasa Inggeris.

Sejak pengenalan pelbagai program oleh beliau, purata kadar lulusan mata murid bahasa Inggeris di sekolah berkenaan meningkat dari 30 peratus pada 2012 kepada 80 hingga 85 peratus pada tahun 2015-2018.

Tahun lalu, Samuel telah dinobatkan penerima anugerah Guru Adiwira 2019.

-Istana Negara

author avatar
Ahmad Fansuri Mohd Nasir
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat