KUALA LUMPUR – Bermula hari ini 11 syarikat konsesi lebuh raya di negara ini secara rasmi melaksanakan Sistem Kutipan Tol Secara Pembayaran Terbuka (SPT).
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pelaksanaan itu akan memberi lebih banyak pilihan kepada pengguna lebuh raya untuk membuat pembayaran tol.
“Saya bangga kerana Lembaga Lebuhraya (LLM) dapat tepati janji supaya 11 syarikat konsesi ini untuk membuka sekurang-kurangnya satu lorong SPT.
“Kini pengguna lebuh raya tidak terhad kepada pembayaran Touch n Go, Smart Tag dan RFID namun turut diberi pilihan untuk membuat bayaran dengan kad kredit dan debit.
“Kalau terhad kepada satu sistem sahaja mungkin kadang kala terdapat kekurangan baki dan ia akan memberi masalah. Jadi apa yang dilakukan ini adalah salah satu perancangan untuk kita melaksanakan Aliran Bebas Pelbagai Lorong (MLFF),” katanya kepada pemberita selepas melancarkan sistem SPT di Plaza Tol Loke Yew, Lebuhraya Sungai Besi (BESRAYA), pada Jumaat lapor BH.
Selain BESRAYA, syarikat konsesi lain yang turut melaksanakan sistem SPT ialah Lebuhraya Baru Pantai (NPE), Lebuhraya Bertingkat Ampang – Kuala Lumpur (AKLEH), Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE) dan Lebuhraya Damansara – Puchong (LDP).
Turut dilaksanakan ialah di Lebuhraya Sistem Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (SPRINT), Lebuhraya Shah Alam (KESAS), Sistem Pengurusan Air Banjir dan Terowong (SMART), Lebuhraya Kuala Lumpur – Putrajaya (MEX), Lebuhrava Duta – Ulu Kelang (DUKE); dan Lebuhrava Kulim – Butterworth (BKE).
Setakat ini, sebanyak 12 syarikat konsesi bersetuju melaksanakan SPT namun di Jabatan Pulau Pinang ia dijangka bermula pada penghujung tahun ini bagi membolehkan penelitian dan perincian lanjut dibuat oleh syarikat konsesi.
Dalam pada itu, mengulas lanjut mengenai tambahan syarikat konsesi untuk melaksanakan sistem SPT, Alexander berkata proses perbincangan dengan yang lain sedang diadakan.
“Memang kita mahu mana-mana (syarikat konsesi) yang mampu untuk laksanakan (sistem SPT) dan kita juga sudah bincang. Namun kita tidak mahu tekan mereka 100 peratus kerana kita faham mungkin mereka ada implikasi lain dan kita tidak mahu beri masalah kepada syarikat konsesi.
“Tapi kita tegaskan bahawa pelaksanaan ini adalah untuk memudahkan pengguna lebuh raya, jadi kita alukan syarikat konsesi ini untuk sertai program ini. Memang kita adakan proses perbincangan secara berterusan,” katanya.