KUALA LUMPUR – Enam firma Malaysia disenaraikan dalam 100 Syarikat Asia Untuk Diperhatikan Forbes 2023, menampilkan syarikat kecil dan pemula yang memberikan tumpuan terhadap pasaran kurang diberikan perhatian atau menggunakan teknologi baharu.
Syarikat Malaysia yang ditampilkan dalam senarai tahun ini adalah Aerodyne, BoomGrow, Care Concierge, Involve Asia, Lapasar dan PolicyStreet.
Aerodyne ialah penyedia perkhidmatan dron yang mengendalikan lebih daripada 458,000 operasi penerbangan di 45 negara dan menjana sebanyak AS$68 juta (RM316.3 juta).
Syarikat yang diasaskan pada 2014 itu disokong pemodal seperti 500 Global, ACSL, Axiata Digital Innovation Fund, Drone Fund, Gobi Partners, Indorama, InterVest, Kejora Capital, Kobashi Industries, KWAP, North Summit Capital, Petronas Ventures, Leave a Nest, Real Tech Fund dan VentureTECH.
BoomGrow pula syarikat pertanian yang mengubah kontena menjadi ladang, dengan hasil tanaman dijual ke gedung-gedung runcit dan restoran.
Ia diasaskan pada 2013 dan disokong pemodal seperti Big Sky Capital, MDEC, PlaTCOM Ventures dan SME Corp.
Care Concierge menawarkan kemudahan bantuan daya hidup dan perkhidmatan penjagaan untuk golongan warga emas.
Syarikat itu diasaskan pada 2017 dan disokong pemodal seperti Bintang Capital Partners, Gobi Partners, OSK dan Ventures International.
Sementara itu, Involve Asia adalah penghubung jenama dengan pempengaruh mikro, iaitu pempengaruh yang mempunyai kurang daripada 100,000 pengikut di media sosial bagi tujuan pemasaran atau program pemasaran.
Ia ditubuhkan pada 2014 dan disokong pemodal 500 Global, Bintang Capital Partners, Cradle Seed Ventures, dan OSK Technology Ventures.
Lapasar yang bermula sebagai laman web pemborong bagi peralatan pembersihan, peralatan teknologi maklumat (IT) dan barangan pejabat, kini berkembang kepada pengeluara barangan pengguna cepat laris semasa pandemik.
Syarikat itu diasaskan pada 2016 dan kini disokong pemodal Adaptive Capital Partners, Creador, Gobi Partners, Nexea dan WatchTower & Friends.
Melengkapi senarai syarikat Malaysia ialah PolicyStreet, yang menyediakan penyelesaian insurans digital kepada perniagaan dan pengguna.
Ia diasaskan pada 2016, dengan pemodal terdiri daripada Altara Ventures, Auspac Investment Management, Gobi Partners, Khazanah Nasional, KK Fund dan Spiral Ventures.
Secara keseluruhan, senarai 100 Syarikat Asia Untuk Diperhatikan Forbes 2023 termasuk inovasi mesra alam seperti pembangunan protein alternatif berasaskan serangga dan pendigitalan pengeluaran susu untuk meningkatkan hasil, lapor BH.
Syarikat lain termasuk penyedia perkhidmatan perdagangan sosial, yang membantu pengguna menjual produk.
Sebanyak 13 negara dan wilayah mewakili 11 kategori, termasuk bioteknologi dan penjagaan kesihatan, e-dagang dan runcit serta kewangan.
Singapura menerajui senarai itu buat tahun kedua berturut-turut apabila sebanyak 20 syarikat disenaraikan, diikuti oleh Hong Kong dengan 15 syarikat dan China sebanyak 11 syarikat.
Hab inovasi sedang pesat membangun, Indonesia menyumbang 11 syarikat manakala Filipina diwakili oleh sembilan syarikat.



