KUALA LUMPUR: Bekas pengerusi Bersih Ambiga Sreenevasan menobatkan kerajaan perpaduan sebagai kerajaan paling diktator.
Ambiga berkata demikian susulan pengumuman kerajaan menerusi Suruhanjaya Komunikasi Multimedia (MCMC) semua media sosial dengan sekurang-kurangnya lapan juta pengguna berdaftar di negara ini mesti memohon lesen.
Jelas Ambiga, dia tidak pernah membayangkan bahawa sebuah kerajaan pimpinan Pakatan Harapan akan kembali pada janji pilihan raya mengenai pembaharuan undang-undang, termasuk Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (PPPA) 1984.
“Saya tidak pernah terfikir akan melihat hari apabila kerajaan pimpinan PH yang hidup di atas platform memperjuangkan pemansuhan PPPA sebaliknya akan mengekalkannya dan mengenakan undang-undang pelesenan baru,
“Kerajaan perpaduan kini kami boleh dinobatkan sebagai kerajaan paling diktator yang pernah kita ada. Syabas!” kata Ambiga menerusi aplikasi X.
Terdahulu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam kenyataannya, memaklumkan langkah itu akan dikuat kuasa bermula 1 Januari 2025, susulan kerangka kawal selia baharu ke atas perkhidmatan media sosial dan perkhidmatan pesanan internet diperkenal bermula 1 Ogos ini.
MCMC berkata, penguatkuasaan ini selaras keputusan Jemaah Menteri bahawa perkhidmatan media sosial dan perkhidmatan pesanan Internet di negara ini, mesti mematuhi undang-undang Malaysia.
“Sebelum ini, platform-platform terbabit dikecualikan daripada keperluan pelesenan berdasarkan Perintah Komunikasi dan Multimedia (Pelesenan) (Pengecualian) 2000.
“Keputusan (perlesenan) itu demi memerangi peningkatan kes jenayah siber termasuk penipuan dalam talian, buli siber dan jenayah seksual terhadap kanak-kanak,” katanya.
MCMC berkata, kegagalan mana-mana perkhidmatan memperoleh lesen selepas tarikh kuat kuasa adalah satu kesalahan dan tindakan perundangan sewajarnya boleh diambil mengikut Akta 588.
Katanya, kerangka kawal selia baru itu hanya terpakai kepada platform yang menepati syarat kelayakan pelesenan dan tidak membabitkan pengguna.