KOTA KINABALU — Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) menyokong usaha Kerajaan Perpaduan mengkukuhkan ekonomi rakyat di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.
Presiden PBRS, Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, inisiatif ‘Ekonomi Madani, Memperkasa Rakyat’ yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, mampu membantu seluruh rakyat mengecapi pembangunan ekonomi negara secara saksama.
“Kerangka ekonomi tersebut menggariskan dua fokus utama iaitu menstruktur semula ekonomi ke aras Malaysia sebagai peneraju ekonomi Asia dan meningkatkan kualiti hidup seluruh rakyat Malaysia.
“Sebagai Parti yang membawa suara rakyat Sabah, PBRS menyambut baik pendekatan Ekonomi Madani yang bersifat inklusif daripada aspek pembangunan infrastruktur seperti komitmen Kerajaan Perpaduan dengan menyediakan keseluruhan RM800 juta tambahan bagi penyelesaian jangka pendek bagi menangani isu bekalan air yang konsisten dan berkualiti bagi Sabah dan Kelantan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Selain itu tambahnya, akses kepada kemudahan dan persekitaran sekolah yang selesa adalah kritikal bagi mencorakkan minda anak-anak muda kita terutamanya anak-anak di luar bandar.
“Jesteru, PBRS turut menyokong penuh langkah yang diambil Kerajaan Perpaduan khususnya dengan menambah peruntukan, mudahkan tatacara perolehan serta menurunkan kuasa pelaksanaan (decentralisastion) bagi mempercepat pelaksanaan projek-projek sekolah dan menambah baik sekolah-sekolah daif.
“Saya yakin usaha ini akan membantu mempermudahkan urusan dan mempercepatkan usaha Kerajaan Sabah untuk merancang dan merencana pembaikan dan pembangunan kemudahan pendidikan yang bersesuaian dengan keperluan rakyat di Sabah.
Di samping Itu katanya, hasrat kerajaan memastikan pembangunan rendah karbon dengan memberi penumpuan kepada meningkatkan kapasiti penjanaan tenaga boleh baharu adalah selari dengan komitmen negeri Sabah.
Ini jelasnya mampu menghasilkan tenaga boleh diperbaharui bagi menarik minat pelabur yang mementingkan aspek alam sekitar, sosial dan tadbir urus ataupun ESG.
Dalam pada itu katanya, melalui aspek kebajikan sosial, Kerajaan Perpaduan ingin mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dengan gaji yang bermakna kepada rakyat Malaysia.
“Pelaksanaan dasar yang menyokong peningkatan upah berbanding KDNK kepada tahap 45% akan membolehkan rakyat Sabah mendapat gaji yang lebih bermakna tanpa perlu merantau ke Semenanjung. Ini secara tidak langsung akan merancakkan kitaran ekonomi domestik dan seterusnya memacu ekonomi Sabah ke tahap yang lebih tinggi.
“Usaha Kerajaan Perpaduan untuk merombak semula struktur ekonomi bagi mengecapi lebih kekayaan dan dalam masa yang sama memastikan keadilan sosial diutamakan bagi memastikan kekayaan yang dikecapi dapat dikongsi bersama memerlukan pendekatan seluruh negara “whole of nation”, katanya.