KUALA LUMPUR – Bukan cuma PKR tetapi negara kehilangan pemuka hadapan (front face) yang progresif dan futuristik selepas pengunduran Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad sebagai anggota Kabinet.
Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Akmal Nasrullah Nasir berkata, walaupun keputusan ini berat dan sukar diterima oleh semua, namun mereka tetap berpegang teguh pada prinsip dan kata-katanya.
“Rafizi Ramli baru sahaja mengumumkan peletakan jawatannya dan disusuli oleh Nik Nazmi sebagai anggota Jemaah Menteri Persekutuan.
“Walaupun keputusan ini berat dan sukar diterima oleh kita semua, namun mereka tetap berpegang teguh pada prinsip dan kata-katanya.
“Sepanjang tempoh kempen pemilihan, Rafizi dan rakan-rakan cekal mempertahankan asas perjuangan parti walaupun terpaksa menongkah arus melalui Jelajah Hidupkan Idealisme Reformasi dalam Ujian Kuasa (HIRUK).
“Sejujurnya, bukan sahaja parti tetapi negara kehilangan pemuka hadapan (front face) yang progresif dan futuristik,” kata Akmal yang juga Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR.
Pun begitu katanya, segala tunjuk ajar serta teladan yang diberikan Rafizi akan terus menjadi pedoman untuk beliau menjalankan amanah dan tugas dalam masa yang berbaki ini.
“Tatkala negara akan terus hadapi cabaran yang sukar pada masa yang mendatang, roh semangat perjuangan Rafizi dan Nik Nazmi akan terus bersama kita semua.
“Akhirnya, Allah dan rakyat juga yang akan menjadi hakim kepada amalan, usaha dan pendirian yang kita ambil selaku pemimpin politik.
“Kita berdoa ke hadrat Allah agar terus diberikan kekuatan dalam menempuh ujian kuasa amat berat ini,” ujar Akmal.