KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menegaskan tiada isu pemansuhan atau pemotongan subsidi gas petroleum cecair (LPG) oleh kerajaan hari ini.
Sebaliknya ia adalah usaha mengekang isu ketirisan barang kawalan dan manipulasi dalam aktiviti perniagaan yang sedang giat dijalankan.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata, subsidi LPG akan terus dapat dinikmati oleh golongan sasar iaitu pengguna kerana ia adalah subsidi dapur rumah rakyat, bukannya subsidi sektor komersial.
Beliau menegaskan, Operasi Gas Memasak (Ops Gasak) yang bermula 1 Mei lalu bukan satu dasar dan peraturan baharu di bawah Kerajaan Madani.
Tetapi, katanya, ia terkait dengan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (Pindaan) 2021 yang sudah berkuat kuasa sejak 15 Oktober 2021 di bawah pentadbiran kerajaan terdahulu.
“Jadi mana-mana pihak yang tidak menggunakan silinder LPG melebihi tiga tong 14 kilogram (kg) iaitu melebihi 42kg pada satu-satu masa tidak perlu khuatir kerana mereka tidak tertakluk kepada peraturan untuk memohon permit barangan kawalan berjadual.
“Malah, bersandarkan kepada Peraturan 2021, premis jualan makanan yang tidak menyimpan atau menggunakan tong LPG bersubsidi tidak melebihi tiga tong pada satu-satu masa tidak diwajibkan memiliki permit barang kawalan berjadual,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Mengulas lanjut, Armizan berkata, Ops Gasak bertujuan membanteras ketirisan subsidi LPG dengan dua fokus utama operasi iaitu mengekang penggunaan tong/silinder LPG bersubsidi oleh sektor industri dan komersial serta membanteras penyelewengan melalui aktiviti haram ‘decanting’.
“‘Decanting’ adalah pemindahan gas dari tong LPG bersubsidi kepada tong tidak bersubsidi dan dijual pada pelbagai peringkat harga iaitu di antara harga subsidi dan di bawah harga pasaran komersial.
“Kumpulan penyangak subsidi ini mendapat keuntungan atas angin yang amat besar kerana strategi penjualan pada harga yang sedikit rendah daripada harga komersial ini menjadi faktor penarik sama ada untuk jualan domestik dan penyeludupan ke luar negara,” katanya.
Menyentuh mengenai salah tanggapan kerajaan melaksanakan dasar baharu, beliau menjelaskan dalam Ops Gasak adanya pemeriksaan rutin yang dilaksanakan oleh pegawai penguat kuasa KPDN.
Katanya, penguat kuasa akan mengeluarkan dokumen Kenyataan Pemeriksaan Premis kepada mana-mana pihak yang didapati menyimpan dan menggunakan melebihi tiga tong LPG iaitu melebihi 42kg yang menjadi peraturan yang dikuat kuasa sejak 2021.
“Pegawai penguat kuasa KPDN juga melaksanakan pemeriksaan rutin di pelbagai peringkat premis perniagaan untuk memastikan pematuhan kepada semua kerangka perundangan di bawah bidang kuasa KPDN. Ini termasuk aspek berkaitan paparan harga, ketepatan timbang sukat, aktiviti sorok dan permit barang kawalan berjadual.
“Keperluan permit barang kawalan berjadual adalah bersandarkan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (Pindaan) 2021 yang dikeluarkan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961. Bagi kes LPG, peraturan menggariskan, penyimpanan dan penggunaan tong LPG melebihi 42kg iaitu melebihi tiga tong 14kg pada satu-satu masa memerlukan kepada permit barang kawalan,” katanya.
Armizan juga mengakui ada kekeliruan berhubung dokumen yang diserahkan oleh penguat kuasa kepada premis perniagaan jualan makanan.
“Ia adalah dokumen Kenyataan Pemeriksaan Premis dan bukan notis kompaun serta tidak ada sebarang sitaan dibuat.
“Ia adalah dokumen standard yang akan diserahkan penguat kuasa KPDN semasa membuat sebarang pemeriksaan rutin di mana-mana premis yang berkaitan.
“Saya tegaskan, fokus utama Ops Gasak adalah mengekang aktiviti ‘decanting’ iaitu penyeludupan dan penggunaan tong LPG bersubsidi oleh sektor industri. Pada masa kini, tindakan kita di peringkat premis jualan makanan lebih kepada aspek advokasi berhubung peruntukan undang-undang di bawah Peraturan 2021,” katanya.