7 surat dihantar sahkan kewujudan Titah Addendum tapi satu pun tak dibalas – Shafee

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Peguam Tan Sri Shafee Abdullah mendakwa beliau menghantar sekurang-kurangnya tujuh surat kepada beberapa individu dan institusi bagi mengesahkan kewujudan Titah Addendum berkait bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Bagaimanapun, beliau tidak menerima sebarang jawapan atau pengesahan bahawa mereka menerima surat berkenaan.

“Kita hantar surat kepada bekas Peguam Negara (Tan Sri Terrirudin Salleh), Menteri Dalam Negeri (Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail), Menteri Undang-undang (Datuk Seri Azalina Othman Said), ketua pengarah penjara, dan kerajaan serta salinan kepada Perdana Menteri dan Timbalannya,” katanya dalam satu sidang media, lapor FMT pada Khamis.

Beliau berkata sekiranya Titah Addendum itu tidak wujud, tidak menjadi masalah untuk membalas surat tersebut.

Najib memperoleh kebenaran daripada Mahkamah Rayuan untuk memulakan prosiding semakan kehakiman bagi menguatkuasakan titah diraja supaya baki hukuman penjaranya dijalani secara tahanan di rumah.

Bagaimanapun, prosiding itu digantung sementara menunggu keputusan rayuan peguam negara di Mahkamah Persekutuan.

Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan mengumumkan pada 2 Feb tahun lalu bahawa hukuman penjara Najib dalam kes SRC International dikurangkan daripada 12 tahun kepada enam tahun, dan dendanya dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Pada 21 Mei, Najib memfailkan permohonan untuk memulakan prosiding hina mahkamah terhadap Terrirudin.

Najib mendakwa bahawa Terrirudin, semasa menjawat jawatan peguam negara, gagal mendedahkan titah adendum yang membenarkannya menjalani baki hukuman penjara secara tahanan di rumah.

Bagaimanapun, Jabatan Peguam Negara berkata tindakan Najib merupakan pelanggaran langsung terhadap perintah mahkamah berkaitan semakan kehakimannya dan dakwaan Terrirudin cuba ‘mengelirukan’ mahkamah mengenai titah adendum itu adalah tidak berasas.

Hari ini, Shafee berkata bahawa apabila satu semakan kehakiman difailkan, orang yang kena saman wajib menerangkan sejujur sebarang maklumat dan dokumen yang ada pada tangan mereka.

“Mereka tidak boleh bermain sorok-sorok,” tegas beliau.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat