CYBERJAYA: Datuk Ismail Sabri Yaakob menyifatkan seni pertahanan diri silat di negara ini, mampu membantu kerajaan menghindarkan golongan muda di negara ini dari gejala tidak sihat.

Dalam ucapannya ketika merasmikan Majlis Perhimpunan dan Penyampaian Ijazah Peringkat Kebangsaan Ke 36 Pertubuhan Seni Silat Lincah Malaysia pagi tadi, Perdana Menteri berkata, “Silat memainkan peranan besar membantu Kerajaan menghindar belia dan beliawanis negara daripada gejala tidak sihat dengan melatih mereka dengan keperibadian yang baik, mulia, berikeyakinan diri, berdisplin dan patuh kepada pemimpin melalui latihan silat”.

Tambah beliau lagi, silat bukan sahaja melatih seni mempertahankan diri tetapi lebih utama adalah untuk membina satu masyarakat yang memiliki ketahanan dalaman, jati diri, disiplin, pembentukan sahsiah tinggi serta melahirkan masyarakat yang mempunyai kesetiaan dan kecintaan kepada tanah air.

Justeru, hasrat Pertubuhan Silat memperluaskan budaya silat menerusi pelbagai saluran untuk kakitangan awam dan swasta, institusi pengajian tinggi, diyakini mampu membentuk remaja lebih berperibadi dan mempunyai nilai-nilai murni.

Memandangkan silat juga menjadi jambatan budaya Melayu dengan dunia luar dengan ratusan ribu ahlinya di benua Eropah, Asia Tengah, Asia Timur dan Afrika, maka seni ini perlu dipertahankan supaya satu daripada budaya persilatan yang telah bertapak sekian lama ini akan dapat dikekalkan dan diterima oleh semua lapisan masyarakat, jelas Perdana Menteri lagi.

Kerajaan kata Ismail, sentiasa menyokong usaha yang dijalankan oleh pelbagai pihak termasuk aktiviti silat yang merupakan entiti yang menjana modal insan dan intelektual serta bertindak sebagai agen perancanga strategik masyarakat, di samping menjadi agen pelaksana kepada program- program berimpak positif.

Kerajaan pula jelas beliau, sudah memberinya pengiktirafan sebagai satu warisan kebangsaan pada tahun 2005. Pengiktirafan ini merupakan langkah awal Kerajaan dalam memastikan budaya ini tidak pupus, sebaliknya terus dipraktik dan diwarisi.

Pada majlis berkenaan Perdana Menteri turut mengumumkan untuk meneruskan projek pembinaan Kompleks Silat Negara yang pernah diluluskan kerajaan pentadbiran bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak pada bulan April 2018.

Pembinaan kompleks bernilai RM160 itu juta bagaimanapun didakwa tertangguh setelah berlaku perubahan kerajaan di peringkat persekutuan pada bulan Mei tahun 2018