konsert JOY SPLASH Kuala Lumpur jadi pertemuan manis Joy dan ReVeluvs

Penantian peminat akhirnya terubat apabila Joy membawa jelajah solo pertamanya, 2026 Joy Asia Tour (JOY SPLASH) ke Zepp Kuala Lumpur pada 25 April lalu.

Kehadiran anggota Red Velvet itu nyata disambut penuh meriah apabila lebih 1,500 ReVeluvs memenuhi ruang dewan seawal petang demi menyaksikan sendiri pesona Joy secara lebih dekat.

Sejurus lampu dipadamkan dan visual pembukaan dimainkan, suasana Zepp Kuala Lumpur terus bergema dengan sorakan peminat. Kemunculan Joy yang membuka persembahan menerusi lagu Hello membuatkan dewan terus dipenuhi energi luar biasa.

Tampil anggun dengan aura lembut yang cukup sinonim dengannya, Joy nyata tidak mengambil masa lama untuk menawan hati penonton. Senyumannya, gaya santai serta interaksi mesra bersama peminat menjadikan suasana sepanjang malam cukup selesa dan menyenangkan.

Momentum persembahan diteruskan dengan lagu Je T’aime dan La Vie En Bleu yang menyerlahkan kekuatan vokalnya. Joy tampil cukup stabil dengan lontaran suara yang lembut namun jelas, sekali gus membuatkan peminat terus hanyut menikmati setiap persembahan.

Tidak terhenti di situ, Joy kemudian mengubat rindu peminat drama Korea apabila membawakan medley beberapa lagu runut bunyi popular seperti Introduce Me a Good Person, My Lips Like Warm Coffee, Yeowooya dan Shiny Boy.

Segmen tersebut nyata antara yang paling mendapat perhatian apabila ramai peminat dilihat menyanyi bersama sambil mengimbau kenangan masing-masing dengan lagu-lagu berkenaan.

Apa yang menjadikan JOY SPLASH lebih istimewa bukan sekadar susunan lagu menarik, tetapi bagaimana Joy bijak mewujudkan hubungan rapat dengan peminat sepanjang konsert berlangsung.

Joy dilihat banyak berinteraksi, berkongsi cerita serta melayan setiap sorakan dengan penuh penghargaan. Malah, beberapa kali dia meluahkan rasa rindu dan teruja kerana akhirnya dapat bertemu semula dengan peminat di Malaysia.

Salah satu momen paling menyentuh hati malam itu pastinya ketika Joy membaca surat kiriman peminat. Dalam salah satu surat tersebut, seorang ReVeluv berkongsi bahawa karya Joy banyak membantunya melalui masalah anxiety dan memberi rasa tenang dalam hidup.

Luahan itu membuatkan suasana dewan seketika menjadi hening sebelum disusuli sorakan sokongan daripada peminat lain.

Joy sendiri kelihatan tersentuh dengan perkongsian tersebut dan menghargai kejujuran peminat yang berani berkongsi kisah peribadi di hadapan ribuan penonton.

Selain momen emosional, JOY SPLASH turut dipenuhi pelbagai segmen santai dan ceria. Joy menghiburkan peminat menerusi sesi permainan interaktif termasuk cabaran ekspresi wajah, random dance, teka lukisan serta sesi bergambar menggunakan flash telefon penonton.

Gelagat spontan Joy sepanjang segmen berkenaan nyata mencuit hati ramai, selain memperlihatkan personalitinya yang ceria dan mudah didekati.

Tidak lengkap rasanya jika tiada sentuhan nostalgia Red Velvet. Sorakan penonton kembali memuncak apabila Joy mempersembahkan potongan lagu hit kumpulan itu seperti Red Flavor, Feel My Rhythm dan Peek-A-Boo.

Jelas sekali, meskipun tampil sebagai artis solo, identiti Joy sebagai anggota Red Velvet masih cukup kuat dan sentiasa dekat di hati peminat.

Menjelang penghujung malam, Joy meneruskan persembahan dengan Day by Day, Happy Birthday to You dan Scent of Green sebelum menutup konsert dengan ucapan penghargaan yang cukup manis.

Menurut Joy, dia berasa sangat gembira melihat peminat menikmati setiap momen sepanjang JOY SPLASH dan menyifatkan keputusan mengadakan jelajah solo ini sebagai sesuatu yang tepat.

Malam penuh manis itu akhirnya melabuhkan tirai dengan senyuman puas para peminat yang pulang membawa kenangan tersendiri.

JOY SPLASH di Kuala Lumpur bukan sahaja membuktikan kekuatan Joy sebagai penyanyi solo, malah menyerlahkan keupayaannya mencipta hubungan istimewa bersama peminat.

Bagi ReVeluvs Malaysia, ia pastinya sebuah malam yang akan dikenang untuk tempoh yang lama.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat