Oleh Zihan Zari
ALOR SETAR – Pemodelan Maklumat Bangunan atau Malaysia Building Information Modelling (BIM) dilihat mampu membantu kontraktor dan pemaju mengelakkan kos dan masa tambahan yang dihadapi sepanjang tempoh pembinaan dan selepas projek itu siap.
Sekali gus menjadikan industri itu lebih cekap, berkesan, fleksibel dan inovatif di samping meningkatkan produktiviti negara.
Kerajaan telah membuat keputusan agar Bim dipertingkatkan dalam projek-projek kerajaan dan swasta, kata Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Hj. Ahmad Maslan.
Beliau berkata, BIM adalah pengurusan model tiga deminsi (3D) yang merupakan plan pembangunan, reka bentuk bangunan dalam kitar hayat pelaksanaan sesebuah projek menggunakan model digital.
“BIM boleh memberikan keberkesanan untuk penyelenggaraan aset, pembinaan aset, mengurangkan kesilapan-kesilapan pembinaan dan seterusnya mengurangkan kos pembinaan.
Setakat ini penggunaan BIM di Malaysia sebanyak 55 % (peratus), walaupun ia lebih tinggi berbanding beberapa negara lain seperti Singapura, Jepun, Poland, Estonia, Russia dan Republik Czech, kita mahu ia terus dipertingkatkan,” katanya.
“BIM telah menampakkan kejayaan, seperti myBIM Central Malaysia di Level 11, Subway Putra Tower, Kuala Lumpur iaitu myBIM Studio, myBIM Studio, myBIM Lab, myBIM Classroom, dan myBIM Seminar,”katanya
Beliau berkata demikian kepada media pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja di Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) Kedah dekat sini, pada Isnin.
Hadir sama, Pengarah CIDB Kedah, Muhammad Fariq Abdul Hamid,dan
Pengurus Bahagian Penguatkuasa CIDB Kedah, Shahril Mohd Poad.
Menurut Ahmad, pada 2024 seramai 1,727 orang peserta mewakili syarikat-syarikat masing-masing telah menerima latihan dari CIDB seperti BIM Awareness Program, BIM Coordinator Program, BIM Modelling Program, dan BIM Manager Program.
“Makmal myBIM akan diwujudkan di setiap negeri oleh CIDB bagi membantu menyelaras proses pembinaan, meningkatkan kecekapan serta memberikan faedah jangka panjang kepada kontraktor dan pemaju.
“Setakat ini lima makmal telah beroperasi di Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Johor, Sarawak dan Sabah dan akan menambah tujuh lagi di Melaka, Perak, Perlis, Pahang, Terengganu, Kelantan dan Kedah, melibatkan 7 jurulatih serta 105 pelatih, ”katanya lagi.
“Ianya dapat membantu industri pembinaan menghasilkan pelan pembangunan projek menggunakan model 3D, dan dapat menangani isu kelewatan projek melalui perubahan proses kerja serta penggunaan teknologi baharu, ”ujarnya.
Mengikut rekod, BIM antara keputusan penting dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negara (MTPN) Bilangan 1 Tahun 2024 supaya penggunaannya diperluaskan kepada projek-projek kerajaan dan swasta.-SUARA.TV