Aset BNM Meningkat Kepada RM619.03 Bilion

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Jumlah aset Bank Negara Malaysia (BNM) meningkat kepada RM619.03 bilion pada 31 Disember 2022 berbanding RM551.613 bilion pada tahun 2021 dan sebahagian besar (81 peratus) terdiri daripada portfolio rizab antarabangsa.

Liabiliti Bank berpunca terutamanya daripada deposit oleh institusi kewangan (RM221.88 bilion) dan mata wang dalam edaran (RM162.07 bilion), kata BNM dalam Laporan Tahunan 2022 yang dikeluarkan di sini pada Rabu.

“Pada tahun 2022, Bank telah menjana pendapatan berjumlah RM8.51 bilion (2021: RM14.649 bilion), selepas ditolak kos berkaitan dengan pengurusan portfolio rizab antarabangsa dan kos menjalankan operasi monetari,” katanya.

Daripada jumlah pendapatan ini, Bank mengeluarkan perbelanjaan untuk mengurus dan mentadbir operasi (perbelanjaan berulang) dan perbelanjaan untuk membiayai projek pembangunan dan projek jangka panjang selaras dengan objektif dan fungsi utama Bank (perbelanjaan pembangunan).

Ini termasuk perbelanjaan yang melibatkan operasi mata wang Bank dan perbelanjaan untuk menyelenggara infrastruktur pembayaran negara. Pada tahun 2022, perbelanjaan berulang dan perbelanjaan pembangunan ini berjumlah RM1.48 bilion (2021: RM1.81 bilion).

Pada tahun 2022 juga, Bank menjana keuntungan bersih selepas cukai berjumlah RM6.98 bilion (kadar purata 2017 – 2021: RM9.38 bilion).

Keuntungan bersih yang lebih rendah adalah disebabkan oleh pulangan pelaburan yang rendah berikutan cabaran dan volatiliti yang ketara dalam pasaran kewangan antarabangsa.

Selain itu, ia juga disebabkan oleh kesan daripada kenaikan kadar faedah yang agresif oleh negara-negara maju yang telah mengakibatkan nilai aset-aset kewangan menjadi lebih rendah, konflik ketenteraan di Ukraine dan kebimbangan mengenai sekatan pergerakan yang berlarutan di China, katanya.

Keuntungan yang lebih rendah ini bukan hanya berlaku di Malaysia malah turut dialami oleh bank-bank pusat yang lain, jelas BNM.

Daripada jumlah keuntungan bersih selepas cukai pada tahun 2022, RM4.23 bilion akan dipindahkan kepada Rizab Risiko Bank (2021: RM7.79 bilion telah dipindahkan kepada Kumpulan Wang Rizab Am).

“Memandangkan keadaan ekonomi global dijangka terus mencabar, penting bagi Bank untuk terus mengukuhkan kedudukan Rizab Risikonya dan dengan itu, membina penampan kewangan bagi menghadapi volatiliti pasaran kewangan dan kejutan ekonomi pada masa hadapan,’’ kata bank pusat.

Rizab Risiko Bank untuk menampung kerugian luar jangka yang berpunca daripada keadaan pasaran kewangan yang buruk adalah sebanyak RM120,846 juta atau 20 peratus daripada jumlah aset selepas mengambil kira pemindahan keuntungan bersih bagi tahun 2022.

Baki keuntungan bersih sebanyak RM2.75 bilion (2021: RM5 bilion) akan dibayar kepada Kerajaan sebagai dividen, katanya. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat