Kes Covid-19 Meningkat, KKM Cari Jalan Keluar – Dr Adham

- Advertisement -

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) komited akan terus mencari strategi bagi menangani peningkatan jumlah kes Covid-19, kata Menterinya, Datuk Seri Dr Adham Baba.

Katanya, antara langkah yang telah diambil ialah menambah kapasiti katil termasuk menukarkan beberapa hospital KKM kepada hospital Covid-19 atau hibrid Covid-19 sepenuhnya; pertambahan Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC), memperkenalkan pengasingan dan pemantauan di rumah untuk pesakit kategori satu (tidak bergejala) dan kategori dua (gejala ringan) selain kaedah kuarantin kendiri serta penglibatan hospital swasta untuk menguruskan pesakit Covid-19.

“Selain itu, perkhidmatan penjagaan utama juga telah menubuhkan Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) di setiap daerah untuk menilai pesakit Covid-19 yang sesuai menjalani pengasingan dan pemantauan di rumah.

“Kami turut melibatkan doktor am dalam membantu KKM membuat penilaian pesakit dan memberi pendidikan kesihatan mengenai pengasingan dan pemantauan di rumah,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan itu sebagai mengulas laporan portal berita bertajuk ‘You don’t see what we see: A doctor tells his story of being ‘scared as hell’ of Covid-19′ pada Selasa.

Dr Adham berkata, KKM juga meningkatkan kapasiti makmal untuk mengenal pasti pesakit Covid-19 lebih awal melalui kerjasama dengan pelbagai agensi, universiti dan makmal swasta bagi menjalankan ujian Tindak Balas Rantai Polimerase (RT-PCR) dan Antigen Rapid Test Kit (RTK-Ag).

Meskipun berdepan kekurangan tenaga kerja dan bekerja terlalu teruk terutama di Lembah Klang, namun beliau berkata, KKM sentiasa berusaha mengatasi masalah itu dalam menangani pandemik tersebut.

Sejumlah 3,617 petugas kesihatan telah digerakkan oleh KKM selain sukarelawan, badan bukan kerajaan (NGO), pasukan keselamatan dan pelbagai agensi lain sejak tahun 2020.

“KKM juga telah memohon tambahan kakitangan dan juga latihan kepada kakitangan sedia ada untuk melaksanakan pelbagai tanggungjawab,” katanya.

Bagi menangani situasi petugas kesihatan yang keletihan dan terjejas emosi, KKM mengambil inisiatif menubuhkan Talian Sokongan Psikososial di peringkat negeri dan pusat serta bekerjasama dengan beberapa agensi kerajaan dan NGO dalam menganjurkan aktiviti ini.

Katanya, pasukan Kesihatan Mental dan Sokongan Psikososial turut digerakkan ke hospital serta fasiliti kesihatan untuk menyediakan Pertolongan Cemas Psikologi kepada petugas kesihatan dan barisan hadapan yang memerlukan.

Dr Adham berkata, KKM meminta orang ramai, majikan dan individu membantu mengenal pasti kontak rapat di kawasan mereka bagi membolehkan tindakan awal diambil oleh Pejabat Kesihatan Daerah berdekatan.

“KKM akan terus bekerjasama dengan semua agensi kerajaan dan bukan kerajaan bagi menguruskan pandemik ini.

“Kami meminta agar rakyat Malaysia mematuhi semua nasihat kesihatan yang diberikan dan SOP ditetapkan kerajaan seperti mengamalkan 3W (wash – kerap mencuci tangan, wear – memakai pelitup muka serta warn – memberi amaran kepada ahli keluarga, rakan dan jiran) dan mengelakkan 3S (kawasan sesak, sempit dan sembang dekat),” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat