Pemuda UMNO Anjur Konvensyen Khas Bincang Kekal atau Keluar Kerajaan

CYBERJAYA – Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Dr Akmal Saleh, mengumumkan penganjuran Konvensyen Khas Pemuda UMNO Malaysia bagi membincangkan hala tuju parti sama ada kekal atau keluar daripada kerajaan sedia ada.

Menurut beliau, konvensyen berkenaan akan berlangsung pada 3 Januari ini (Sabtu) bermula jam 3 petang bertempat di Dewan Tun Ismail, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

Akmal berkata, konvensyen itu bukan sekadar pandangan peribadi beliau, sebaliknya bertujuan menghimpunkan suara akar umbi UMNO yang masih setia dengan perjuangan parti.

“Ini bukan pendapat peribadi saya. Saya menjemput semua ahli UMNO, termasuk akar umbi, pemuda dan puteri yang masih sayangkan perjuangan UMNO untuk hadir dan menyuarakan isi hati masing-masing,” katanya menerusi satu kenyataan video di Facebook.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Pemuda UMNO Selangor dan UMNO Bahagian Puchong yang mengeluarkan kenyataan memutuskan hubungan dengan Pakatan Harapan di kawasan itu, susulan kegagalan permohonan maaf dalam tempoh 24 jam oleh seorang Ahli Parlimen.

Akmal menegaskan, segala pandangan dan keputusan yang dibincangkan dalam konvensyen khas itu akan dibawa ke Mesyuarat Kerja Tertinggi (MKT) UMNO sebelum diserahkan kepada Presiden UMNO.

“Kita mahu apa yang diperkatakan oleh akar umbi ini didengar oleh pimpinan tertinggi. Ini suara orang bawah yang tidak mempunyai kepentingan kuasa, tetapi masih setia kepada perjuangan UMNO,” katanya.

Beliau turut mengajak semua pimpinan UMNO, sama ada memegang jawatan atau tidak, untuk hadir dan mendengar secara langsung pandangan ahli mengenai masa depan parti dalam kerajaan.

Konvensyen khas itu dijangka menjadi platform penting Pemuda UMNO dalam menentukan pendirian parti terhadap kerjasama politik yang sedang berlangsung.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat