TELIPOK – Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) bertindak tegas tanpa memilih bulu dalam kes siasatan skandal rasuah mengaitkan bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin.
Beliau yang juga Presiden Bersatu menegaskan, SPRM tidak wajar gentar dalam menjalankan tugasnya tanpa mengira siapa orangnya dan dari mana datangnya orang itu bagi menjamin ketelusan siasatan bersandarkan undang-undang.
“Hari ini dan semalam saya ada dengar cerita ada kes Supol PM meletakkan jawatan, ada kaitan dengan soal rasuah.
“Hal demikian, saya tuntut pihak bertanggungjawab SPRM perlu bertindak tegas tanpa memilih bulu… tanpa memilih siapa orangnya mahupun dari mana datangnya.
“Tanggungjawab untuk membanteras rasuah mesti diambil secara setegas-tegasnya,” seru bekas Perdana Menteri kelapan itu dalam ucapannya dalam Ceramah Mega Kasi Bagus Sabah di Telipok, malam tadi.
Menurut Ahli Parlimen Pagoh itu lagi, skandal rasuah dan salah guna kuasa itu juga dikatakan ada kaitan dengan apa yang sudah berlaku di Sabah.
“….dalam beberapa peristiwa lalu iaitu isu rasuah yang dikatakan dikaitkan dengan beberapa orang yang agak penting yang ada di Sabah, termasuk juga membabitkan dengan Ketua Menteri Sabah ini. Itu cerita yang saya baca,” ujar Muhyiddin lagi.
Susulan polemik semasa itu, Muhyiddin menyeru rakyat Sabah supaya menjadikan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ini sebagai cerminan kepada situasi politik semasa di peringkat Persekutuan.
“Sebab itu walaupun ini pilihan raya di Sabah tapi ia adalah satu cerminan tentang situasi politik di peringkat negara.
“Tidak berapa lagi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) ada yang ramalkan tahun depan, justeru disebabkan masalah itu apa yang ditunjukkan rakyat Sabah akan jadi cerminan di peringkat Persekutuan.
“Bila mana kita berhadapan PRU16 tak lama lagi… untuk itu saya rayu berikan isyarat awal kepada Kerajaan di Putrajaya yang telah pun buat banyak perkara musibah tak baik kepada negara.
“Antaranya membabitkan Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) Malaysia-Amerika Syarikat (AS) jadi perdebatan belum selesai.
“Datuk Seri Anwar gadai negara kepada AS, sehinggakan nak buat apa-apa kena minta kebenaran AS walaupun kita sudah merdeka.
“Oleh itu Sabah mesti jadu cerminan bahawa bermula dengan orang Sabah, kita akan ambil alih Putrajaya,” kata Muhyiddin.



