KUANTAN: “Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) gagal membantu negara Palestin yang ditindas oleh rejim Zionis”, bidas Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail.
Tegas Wan Rosdy, PBB gagal menjalankan peranannya serta mengisytiharkan gencatan senjata dilakukan di semenanjung Gaza.
“Kita gesa PBB perlu dirombak dan dikaji semula peranannya, mereka gagal menjalankan tugas mereka,
“Hampir 8,000 ribu rakyat Palestin mati, tetapi sehingga hari ini perang masih berlaku,
“Bekalan elektrik diputuskan, Internet diputuskan, bantuan bekalan makanan dihalang,
“Kita dunia bangkit supaya PBB dikaji semula peranan mereka kerana sehingga hari ini mereka gagal menjalankan tugas untuk membantu rakyat Palestin,” kata Wan Rosdy pada Himpunan Pahang4Palestin, di Dataran Majlis Bandaraya Kuantan, sebentar tadi.
Majlis yang turut dihadiri oleh Speaker Dewan Negeri Pahang, Dato’ Sri Shakar Shamsuddin, Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan, Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang merangkap Pengerusi Jawatankuasa Program YB Fadzli Mohamad Kamal, barisan Exco-exco kerajaan negeri.
Dalam pada itu, kata Wan Rosdy, kehadiran lebih 10,000 rakyat Pahang pada himpunan ini menunjukkan rakyat di negeri ini bersolidariti dengan Palestin kerana dizalimi oleh rejim Zionis.-SUARATV