KUALA LUMPUR – Semua 10 bekas ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Negeri Sembilan yang pelantikannya ditarik balik oleh Yang di-Pertuan Besar, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, diarah memulangkan kenderaan rasmi mereka.
Bekas Exco Perindustrian, Teknologi, Inovasi dan Digital negeri, Datuk Mohd Asna Amin, ketika mengesahkannya berkata, beliau menerima surat daripada pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) berhubung perkara berkenaan, hari ini.
“Sejak perwartaan itu, saya tak guna kenderaan rasmi tapi hari ini memang ada terima surat daripada SUK berhubung arahan memulangkan semula kenderaan rasmi.
“Namun tidak sempat pun membaca surat itu tadi,” katanya kepada pemberita selepas memberikan keterangan kepada pihak polis dari Bukit Aman di bangunan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) lapor BH di Seremban pada Isnin.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lenggeng berkata, pihaknya akan melaksanakan arahan berkenaan.
“Jadi, kami perlu mengeluarkan semua barang kami. Tidak mengapa, apa jua arahannya,” katanya.
Asna berkata, beliau tidak dapat memasuki pejabat Exco di Wisma Negeri di Seremban seperti biasa, dan semua urusan sebagai ADUN dilakukan di Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Lenggeng.
“Sebagai wakil rakyat, buat masa ini operasi kita di kawasan iaitu di pusat khidmat kawasan,” katanya.
Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Ismail Lasim, minggu lalu menyatakan bahawa ahli-ahli Exclo dilarang memasuki pejabat mereka di Wisma Negeri, melalui arahan lisan.
Mengulas mengenai hasil pertemuan 25 ADUN Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) negeri dengan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di ibu negara malam tadi, Mohd Asna berkata, perkara yang dibincangkan ialah berkaitan situasi politik negeri itu.
Menurutnya, pertemuan itu tertumpu kepada usaha menyelesaikan kebuntuan yang sedang berlaku, terutamanya memandangkan Belanjawan Negeri 2027, dijadualkan dibentangkan pada Disember depan.
“Belanjawan negeri semakin hampir, tinggal kira-kira dua bulan lagi. Jadi, kerajaan perlu terus berfungsi. Perkara ini terletak kepada MB bagaimana untuk menangani dan menyelesaikannya seperti mana Pengerusi Umno Negeri Sembilan Datuk Seri Jalaluddin Alias maklumkan malam tadi.
“Apa jua yang berlaku, kami mengutamakan kepentingan rakyat,” katanya.
Terdahulu, Tuanku Muhriz menarik balik pelantikan Exco terbabit pada 20 September lalu selepas pihak istana menyatakan bahawa ahli-ahli Exco berkenaan melanggar sumpah taat setia yang dilafaz dan ditandatangani.
Penarikan balik itu menyusuli satu kenyataan kontroversi Exco mengenai kedudukan pemerintah, yang kemudiannya diisytiharkan tidak sah oleh Pejabat Peguam Negara sebelum penarikan balik pelantikan itu diwartakan secara rasmi pada 24 September lalu.


