Elizabeth seronok lakukan babak aksi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Penyanyi dan pelakon sensasi, Elizabeth Tan, 28, terpaksa menangguhkan hasrat tampil dengan single terbaharu selagi urusan bersama syarikat rakaman, Warner Music belum selesai.

Elizabeth atau lebih dikenali sebagai Lizzy mendakwa, syarikat rakaman itu masih berdiam diri dan enggan melepaskannya walaupun kontrak selama tiga tahun sudah tamat pada Februari lalu.

“Secara teknikalnya, kontrak saya bersama Warner Music sudah tamat. Malah, surat mahu keluar daripada Warner Music sudah dihantar pada Januari lalu.

“Namun, Warner Music masih berdiam diri menyebabkan saya terpaksa menggunakan khidmat guaman untuk menyelesaikan isu ini.

“Sehingga kini, saya belum mendapat surat hitam putih menyatakan kontrak sudah berakhir. Ia menyebabkan saya tidak boleh merangka aktiviti kerjaya nyanyian kerana bimbang mendatangkan masalah.

“Saya tidak mahu mencetuskan drama, jadi selagi belum ada surat hitam putih, saya terpaksa menangguhkan hasrat melancarkan single baharu. Mengikut perancangan, saya akan tampil dengan karya baharu, hujung tahun ini,” dakwanya kepada BH Online.

Elizabeth ditemui pada sidang media secara virtual mempromosikan drama terbaharu, Gerak Khas Undercover terbitan Skop Productions Sdn Bhd yang bakal menemui penonton, jam 10.30 malam di TV3 pada Jumaat ini.

Penyanyi lagu Knock Knock dan Police Entry itu berkata, dia enggan mengeruhkan keadaan dan memberikan masa kepada Warner Music untuk membuat keputusan.

Justeru, buat masa ini, katanya, dia selesa memberikan fokus kepada bidang lakonan, lebih lagi, menjadi minatnya.

Terdahulu, kemelut antara Elizabeth bersama Warner Music timbul apabila pelakon filem Misteri Dilaila itu menyatakan hasrat mahu mengundur diri, sejak setahun lalu.

Bagaimanapun, tindakan Elizabeth atau nama sebenarnya, Elizabeth Tan Su Mei tidak dipersetujui syarikat rakaman berkenaan kerana didakwa masih berhutang rakaman lagu.

Sedangkan, Elizabeth mendakwa, sudah menyelesaikan rakaman 10 lagu seperti perjanjian dalam kontrak, cuma ada lagu masih belum dilancarkan. Setakat ini, hanya empat single yang dikeluarkan.

 

Elizabeth gementar bergandingan dengan Rosyam, namun banyak memperoleh ilmu dan melakonkan babak aksi dengan pelakon handalan itu. - Foto Ihsan Skop Productions
Elizabeth gementar bergandingan dengan Rosyam, namun banyak memperoleh ilmu dan melakonkan babak aksi dengan pelakon handalan itu. – Foto Ihsan Skop Productions

 

Sementara itu, mengulas drama kepolisan lakonannya, Elizabeth memegang watak Inspektor Elly berkata, kebanyakan babak aksi lasak dalam dilakukan sendiri tanpa bantuan pelakon lagak ngeri.

Bagaimanapun, katanya, dia mengalami lebam pada beberapa bahagian badan. Malah, kuku kaki turut tercabut, tetapi ia satu pengalaman baharu.

Katanya, dia memang menggemari genre filem atau drama aksi dan seni bela diri campuran (MMA).

Elizabeth berkata, dirinya bertuah apabila dilamar berlakon dalam drama Gerak Khas Undercover kerana berpeluang berlakon di sisi pelakon hebat seperti Datuk Rosyam Nor.

“Mulanya, saya gementar juga apabila mengetahui akan bergandingan dengan Rosyam. Tetapi, dalam masa yang sama, saya anggap diri bertuah dapat beraksi dengan pelakon handalan sepertinya.

“Walaupun boleh diibaratkan pelakon legenda, tetapi Rosyam banyak berkongsi ilmu dan mengajar saya melakonkan babak aksi.

“Tetapi, drama ini tidak membabitkan banyak aksi besar, jadi saya boleh melakukan sendiri,” katanya.

Kongsi Elizabeth, dia sempat ditertawakan suami, Dr Siew Jim Ding apabila menunjukkan tubuh yang kesan lebam melakonkan babak aksi.

“Saya ada tunjukkan pada suami tubuh yang lebam-lebam, kesan daripada melakukan babak aksi. Suami tidak marah, sebaliknya mentertawakan dan mengatakan saya lemah,” katanya.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat