Tajuddin tubuh NGO Pasir Salak Bangkit taut semula Umno, PAS

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Platform Melayu Bangkit yang digerakkan oleh bekas ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman bertujuan menaut kembali semangat Muafakat Nasional (MN) yang telah karam.

Beliau yang juga ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno bakal menganjurkan himpunan Melayu bangkit menerusi NGO ‘Pasir Salak Bangkit’.

Himpunan Melayu Bangkit akan diadakan di Kampung Gajah di Pasir Salak pada Rabu, 30 Ogos 2023 pada jam 8 malam.

Selaku Presiden NGO Pasir Salak Bangkit, Tajuddin berkata, tujuan utama himpunan itu dianjurkan untuk meniup semula semangat perjuangan orang Melayu khusus Umno dan PAS.

“Orang Melayu masih lagi tertinggal, tiada kuasa, tiada pengaruh dari segi ekonomi, pendidikan dan juga sosial.

“Kalau nak kuat dan bangkit dan kembali berkuasa dalama arena politik, perlu ada kesedaran itu semula bagaimana kita pernah bangkit dalam semangat Muafakat Nasional yang membawa kepada penyatuan ummah.

“Melayu bangkit ialah untuk Melayu dari Umno dan PAS bangkit bersatu semula, jangan berpecah lagi. Orang Umno mahupun orang PAS jangan berlagak antara satu sama lain, nak tunjuk hebat jangan tunjuk sesama sendiri, tunjuk kepada orang lain,” katanya pada sidang media di kediamannya, petang ini.

Tajuddin mengesyorkan agar Umno dan PAS untuk mengamalkan situasi menang-menang kerana keuntungan akan menyumbang kepada kemenangan bagi bangsa Melayu.

“Umno dalam Kerajaan Perpaduan dengan berbekal 26 kerusi dilihat sekadar menumpang kekuatan.

“Kita tak mahu keadaan ini berterusan, Umno seolah parti kecil dalam komponen Kerajaan Perpaduan. Kita (Umno) nak jadi gagah kembali, jadi dominan balik untuk berdiri di atas kaki sendiri,” katanya.

Ditanya adakah himpunan Melayu bangkit sama dengan proklamasi orang Melayu, Tajuddin menegaskan itu hanya proklamasi tapi tidak bangkit.

“Itu dia proklamasi saja, tapi dia tak bangkit, ini Melayu bangkit,” tegas Tajuddin.

Pada 1 September 2018, dikatakan 10,000 orang Melayu hadir dalam satu majlis dinamakan ‘Himpunan Melayu Bangkit’ 1.0 di Pasir Salak, Perak yang dianjurkan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (Pekembar) atau United Malays National Organisation (Umno).

Program dianjurkan apabila Umno yang menjadi tunjang pemerintahan negara di bawah gabungan Perikatan yang kemudian dijenamakan sebagai Barisan Nasional (BN), kecundang dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), selepas 61 tahun memerintah.

Tujuan asasnya adalah mengajak umat Melayu mempertahankan hak istimewa, kedaulatan Raja-Raja Melayu dan agama Islam yang dikatakan diganggu gugat atau dirobek oleh pemerintahan baharu Pakatan Harapan (PH) selepas hari bersejarah 9 Mei 2018 .

Ucapan oleh pemimpin UMNO dalam majlis itu lebih tertumpu kepada politik semasa dan hak orang Melayu, institusi Raja-Raja dan agama Islam yang kemudian disambut laungan ‘Melayu bangkit’ oleh hadirin.

Akhir acara, satu deklarasi dibacakan yang antara lain pengisytiharan bahawa orang Melayu akan mempertahankan kedudukan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan, amaran supaya berhenti daripada mempersoalkan kedudukan orang Melayu, selain mempertahankan dan memelihara kedaulatan Raja-Raja.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat