CYBERJAYA: Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan hari ini, merakamkan ucapan tahniah kepada Kerajaan pimpinan YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob atas kejayaan menggubal Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 dan Peruntukan Larangan Ahli Parlimen Bertukar Parti.
Timbalan Presidennya Datuk Arthur Joseph Kurop berkata, PBRS berpegang teguh dengan pendirian bahawa pelaksanaan undang-undang anti
lompat parti perlu dilaksanakan. Di Mesyuarat Tri Tahunan yang berlangsung pada bulan Februari lalu, PBRS telah meluluskan usul untuk menyokong supaya pindaan RUU ini diluluskan sebelum Pilihan Raya Umum ke 15. Pelaksanaan RUU tersebut penting bagi mengembalikan kestabilan politik dan pentadbiran negara untuk jangka masa panjang serta meningkatkan integriti dan keyakinan rakyat terhadap sistem demokrasi negara kita.
Sokongan Ahli Parlimen yang telah meluluskan RUU ini jelas mencerminkan “PoliticalReset” selari dengan keperluan lanskap politik semasa negara. Kestabilan dan kematangan politik merupakan elemen penting dalam memacu kemajuan serta
pemulihan ekonomi sesebuah negara dan mempunyai kaitan rapat dengan elemen lain seperti ekonomi, perniagaan dan pelaburan.
Lanskap politik yang stabil akan membolehkan semua pihak membangunkan negara secara bersama untuk kemakmuran yang dinikmati seluruh Keluarga Malaysia.
Keyakinan pelabur dalam dan luar negara terhadap situasi politik negara akan
mewujudkan kembali pelbagai peluang baharu perniagaan dan penciptaan pekerjaanyang akan mengukuhkan ekonomi rakyat.
Sebagai satu-satunya parti Komponen Barisan Nasional di Sabah, PBRS menyokong penuh pelaksanaan RUU ini dan percaya ianya memberikan mesej jelas kepada setiap ahli Dewan Rakyat supaya berpegang teguh kepada prinsip parti yang diwakili untuk melindungi mandat rakyat.
Ini merupakan transformasi politik yang penting dan signifikan dalam negara kita dan Kerajaan hari ini yang dipimpin oleh YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob membuktikan komitmen serta kebolehan untuk melaksanakan transformasi ini.
Beliau percaya kejayaan ini akan mengembalikan keyakinan rakyat kepada sistem pilihan raya dan secara tidak langsung menjadi sebab utama untuk Keluarga Malaysia keluar mengundi pada Pilihanraya Umum akan datang.
Apa yang paling penting RUU berkenaan akan melindungi kepentingan dan
kepercayaan rakyat yang telah memberi undi mereka terhadap ahli politik yang telah dipilih dan dilantik melalui proses pilihan raya. Sehubungan itu kepercayaan dan mandat yang telah diberikan seharusnya dipertahankan dengan penuh integriti.