Bilah ke Laras, angkat nilai sejarah, warisan bangsa dan budaya

- Advertisement -

Oleh: Zihan Zari

KOTA TINGGI – Senjata tradisional warisan turun temurun yang cukup kaya nilai sejarah, budaya, puitika dan estetikanya.

Dalam konteks umum amat rapat hubungannya dengan elemen pertempuran, pertahanan serta keselamatan.

Fungsinya berkembang, sebagai barang pertukaran dagangan, hadiah tanda persahabatan antara kerajaan melambangkan hubungan diplomatik, simbol kekuasaan dan ketuanan.

Pengarah Yayasan Warisan Johor (YWJ), Fairuzahri Jalaluddin berkata demikian ketika menyampaikan ucapan di majlis penutup program Kolaborasi Ilmiah : Bilah ke Laras di Muzium Kota Tinggi pada Ahad.

Turut hadir, Timbalan Pengarah Muzium Tentera Darat, Leftenan Kolonel, Mohd Yazid Nordin.

Fairuzahri berkata, inilah peluang berharga kepada orang ramai dapat menyertai wacana ilmu, khususnya sejarah serta kearifan tempatan berkenaan persenjataan Melayu, ilmu bedil sehinggalah persenjataan era moden.

Kini, senjata tradisional mendapat tempat yang istimewa sebagai karya seni yang halus dan indah buatannya.

Ianya hasil daripada perubahan pemikiran masyarakat melalui ketinggian kreativiti dan falsafahnya serta daya cipta pembuatnya.

Menurutnya, Bilah ke Laras adalah satu penyatuan evolusi penghasilan persenjataan tradisional yang telah memperlihatkan teknologi pembuatannya yang cukup unik.

Perkara ini dapat diteliti terutamanya dalam kehidupan seharian dan dalam peperangan.

Mungkin tidak ramai yang menyedari, pahlawan Melayu telah menggunakan senjata api seperti istinggar yang disebut dalam Salatus Salatin oleh tentera Johor -Riau ketika membantu Belanda menyerang Portugis.

Manakala, bedil pula merujuk kepada semua senjata api Melayu daripada kecil seperti pemuras sehingga kepada meriam agung.

Menurutnya lagi, bangsa Melayu telah mengetahui ilmu bedil hasil daripada hubungan dengan pedagang China, India dan Timur Tengah antaranya, meriam Ekor Lotong, Jolong, Kalok, Lela dan Rentaka.

Pada era tradisional, teknologi dan kekuatan empayar bergantung kepada senjata yang dimiliki manakala pengenalan kepada penggunaan serbuk letupan menandakan bermulanya penggunaan senjata secara jarak jauh.

“Selepas melalui zaman yang panjang , penggunaan senjata ketika dan selepas Perang Dunia Kedua dianggap termoden yang membawa kemusnahan dalam skala besar.

Semuanya melambangkan ketamadunan bangsa dan perjalanan sejarah senjata yang pernah berlaku di dunia ini, ”katanya.

“Program ini diharap mencapai objektifnya dengan penekanan pengisiannya dalam membicarakan kearifan tempatan, seterusnya mencetuskan satu evolusi penggunaan persenjataan dan kepakaran dalam bidangnya .

“Penglibatan dan sokongan penuh daripada pemikir, ahli pemuziuman, institusi pendidikan tinggi, serta orang awam, dapat membawa YWJ untuk terus komited bagi mencapai visinya memelihara warisan seni dan budaya .

Hal ini sejajar dengan peranan muzium sebagai institusi pendidikan tidak formal,” katanya lagi.

Ujarnya, selaku mewakili tuan rumah, beliau berbesar hati dapat menjemput tetamu dan orang menghayati koleksi artifak yang tersedia di Muzium Kota Tinggi ini, dari sudut nilai estetikanya dan falsafah di sebalik penghasilannya.

Semoga dengan penganjuran program seperti ini YWJ dapat menambahbaik koleksi yang sedia ada selain dapat memantapkan lagi pengisian pameran di Muzium Kota Tinggi ini .

“Sekalung tahniah kepada ahli panel yang sudi menyampaikan ilmu dalam bidang masing-masing, seterusnya mengangkat nilai ilmu, sejarah dan warisan kita,” ujarnya.

Beliau mengakhiri ucapan dengan dua rangkap pantun Melayu,

Hikayat anak panah sedasa ,
Dikarang oleh Datuk Bendahara;
Hikmah titah yang maha mulia,
Dilimpahi kias tamadun bangsa .

Cantiknya keris elok loknya,
Baik ditempa elok besinya;
Cantik keramat elok tunduknya,
Baik berbicara elok akhirnya.

Sementara itu, Penolong Pegawai Tadbir Muzium Kota Tinggi, Murnira Mastar berkata, program ini menampilkan panel yang mempunyai kepakaran dalam mengupas ilmu persenjataan tradisional dan moden.

Antaranya, Felo Perunding Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dato’ Dr. Abdul Mua’ti @ Zamri Ahmad membicarakan mengenai, ‘Keris : Epitome Kebijaksanaan Melayu’.

Manakala Kurator Arkib Muzium Tentera Darat, Mejar Johizan Halid mengenai ‘Prinsip Senjata Api Tentera Darat Moden’.

Pengasas Maktab Penyelidikan Tamadun Alam Melayu dan Islam (MAPTAMI), Dr.Hassanudin Yusof membicarakan mengenai ‘Tradisi Penggunaan Senjata Api di Alam Melayu’.

Pensyarah Kanan Jabatan Sejarah, Universiti Malaya (UM), Dr. Azharudin Mohamed Dali mengupas mengenai ‘Senjata dan Persenjataan Ketika Era Perang Dunia Kedua di Tanah Melayu’.

Turut ditampilkan moderator (@penceritatv) dan Tiktokers, Azrul Affandi Sobry.

Katanya, Muzium Tentera Darat turut serta, membawa pameran khas senjata api di muzium ini .- SUARA.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat