“Tak ada sebab Rafizi keluar PKR tubuh parti baharu dan letak jawatan menteri, teruskan perjuangan” – KJ

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Khairy Jamaluddin Abu Bakar meminta Datuk Seri Rafizi Ramli agar tidak berundur daripada perjuangan PKR apatah lagi menubuhkan parti politik baharu.

Bekas Ketua Pemuda Umno itu menegaskan beliau tidak nampak sebarang sebab atau keperluan untuk Rafizi keluar daripada PKR atau menubuhkan parti baharu kerana Khairy tahu betapa komitednya Rafizi dengan perjuangan PKR sejak awal penubuhannya.

Khairy malah memuji kredibiliti Datuk Seri Rafizi Ramli sebagai seorang ahli politik dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Memetik laporan Sinar Harian, Khairy menegaskan tiada keperluan untuk Rafizi meninggalkan parti biarpun tewas dalam pemilihan baru-baru ini.

Menurut Khairy, keadaan yang dilalui oleh Rafizi sedikit berlainan dengan apa yang dihadapinya ketika berada di dalam Umno kerana menteri ekonomi itu tewas dalam mempertahankan jawatan dalam PKR manakala beliau dipecat setelah bertanding merebut jawatan Presiden.

“Saya dipecat daripada Umno manakala Rafizi tewas dalam pemilihan PKR. Dahulu, saya juga pernah bertanding untuk jawatan Presiden tetapi tewas kepada Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada 2018. Ketika itu, saya tetap kekal dalam Umno.

“Apabila saya dipecat, saya tidak ada pilihan kerana keputusan telah dibuat untuk melucutkan keahlian saya. Saya tidak mempunyai masalah dengan parti, hanya menawarkan diri untuk bertanding jawatan Presiden. Hubungan dengan Zahid juga baik.

“Jadi, kepada Rafizi, teruskan perjuangan! Saya tidak nampak sebarang sebab atau keperluan untuk beliau keluar daripada PKR atau menubuhkan parti baharu kerana saya tahu betapa komitednya Rafizi dengan perjuangan PKR sejak awal penubuhannya,” kata Khairy.

Dalam pada itu, Khairy berharap Rafizi tidak melepaskan jawatannya sebagai Menteri Ekonomi kerana percaya beliau mampu menerajui kementerian itu dengan baik.

“Beliau menyatakan atas dasar prinsip bahawa seseorang yang memegang jawatan kanan dalam parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan harus melepaskan jawatan sekiranya tidak lagi mempunyai kedudukan dalam parti.

“Tetapi, pada saya, ia tidak semestinya begitu kerana ramai yang dilantik ke jawatan menteri berdasarkan kebolehan mereka, walaupun tidak mempunyai pengaruh dalam parti.

“Lantikan ke dalam Jemaah Menteri dibuat bukan sahaja atas kapasiti jawatan dalam parti, tetapi juga atas kredibiliti dan keupayaan individu tersebut,” jelasnya.

Untuk rekod, Ahli Parlimen Pandan itu pernah kalah dalam saingan jawatan Timbalan Presiden PKR pada 2018 kepada bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Namun, bangkit semula dengan kemenangan pada pemilihan 2022 apabila mengalahkan bekas Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat