KUALA LUMPUR – Pejabat Perdana Menteri (PMO) memaklumkan Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah dilaporkan stabil dan berada dalam keadaan baik di Institut Jantung Negara (IJN).
Namun begitu kata PMO, Baginda masih memerlukan pemantauan oleh pasukan perubatan dan ketika ini Sultan Brunei itu ditemani oleh Raja Isteri Pengiran Anak Saleha.
Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan pada Rabu berkata, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, telah menziarahi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien yang sedang menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) akibat keletihan.
“Alhamdulillah, keadaan Baginda Tuanku dilaporkan stabil dan berada dalam keadaan baik. Namun begitu, Baginda masih memerlukan pemantauan oleh pasukan perubatan. Ketika ini, Baginda ditemani oleh Raja Isteri Pengiran Anak Saleha.
“Sehubungan itu, pihak perubatan telah menasihatkan agar Baginda Tuanku untuk tidak menerima sebarang pelawat buat masa ini, kecuali daripada keluarga Diraja Brunei sahaja, demi memastikan proses pemulihan dapat berjalan dengan lancar.
“Perdana Menteri menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk bersama-sama mendoakan semoga Baginda Tuanku dikurniakan afiyah sesegera mungkin serta sentiasa berada dalam lindungan dan rahmat Allah SWT,” menurut PMO.